KAMPUNG DIGITAL MODEL PENGURUSAN RAKYAT LEBIH SISTEMATIK

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANGI 21 November – Inisiatif Kampung Digital Melaka berpotensi menjadi model pengurusan masyarakat lebih sistematik untuk dicontohi pentadbiran kerajaan negeri lain, khususnya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berkesan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan pendigitalan alamat kediaman di kampung tradisional itu bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah perkongsian alamat, malah membuka ruang kepada kaedah pengurusan komuniti yang lebih tersusun dan terancang.

Menurutnya, masalah ratusan penduduk berkongsi satu alamat menjadi antara cabaran yang dikenal pasti dalam penyelidikannya kerana keadaan itu boleh menyukarkan urusan rasmi kerajaan serta penyampaian maklumat kepada golongan sasaran.

Katanya, menerusi Kampung Digital, setiap kediaman diberikan nombor rumah, alamat digital serta kod QR bagi memudahkan pengenalpastian lokasi dan membolehkan urusan pentadbiran disampaikan secara lebih tepat.

“Melaka merupakan projek perintis Kampung Digital yang saya membuat kajian dan alhamdulillah kita telah berjaya mencapai apa yang kita harapkan iaitu semua rumah-rumah kampung tradisional telah pun diberi nombor dan alamat-alamat digital beserta dengan QR code,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Majlis Konvokesyen Ke-54 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, hasil penyelidikan yang diangkat ke peringkat akademik itu diharapkan dapat menjadi rujukan kepada generasi akan datang, khususnya dalam membangunkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap.

Menurutnya, pendekatan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada Melaka sahaja, sebaliknya boleh dimanfaatkan pentadbiran kerajaan di seluruh negara bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan pantas.

“Saya harap Kampung Digital ini bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri Melaka, insya-Allah akan memberi manfaat kepada seluruh pentadbiran kerajaan di seluruh Malaysia dengan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan cepat,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan masyarakat perlu bergerak seiring perkembangan teknologi dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah konvensional yang digunakan sejak selepas kemerdekaan.

Katanya, perubahan itu penting bagi memastikan sistem pentadbiran lebih bersedia memenuhi keperluan generasi akan datang, selain memudahkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.

Hasil penyelidikan bertajuk ‘Pengurusan Teknologi Digital Dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka’ itu sekali gus meletakkan pendigitalan komuniti sebagai antara pendekatan yang boleh diberi perhatian dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post ZULKIFLEE MAHU KLINIK UZUR DINAIK TARAF, BEBAN PETUGAS KESIHATAN DITANGANI