MELAKA BERWARNA-WARNI, FAIRUL NIZAM MAHU TERUS SUBURKAN PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 21 November – Memastikan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Melaka terus mekar menjadi antara keutamaan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan selepas diberi tanggungjawab menerajui portfolio Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri.

Beliau berkata, kepelbagaian kaum dan etnik termasuk Melayu, Cina, India, Orang Asli serta komuniti Portugis merupakan antara keunikan yang perlu terus dipelihara dalam memastikan keharmonian masyarakat di negeri ini kekal utuh.

Menurutnya, portfolio perpaduan juga merupakan antara bidang yang diminatinya dan beliau berhasrat memberikan komitmen sepenuhnya dalam memperkukuh hubungan masyarakat di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

“Perpaduan memang antara salah satu portfolio yang saya minat. Insya-Allah, saya bersama Datuk Azman Abdullah selaku Timbalan Exco akan bekerja kuat untuk memastikan semangat perpaduan Melaka ini, Melayu, Cina, India, Asli, Portugis dan sebagainya akan terus mekar di bawah pentadbiran Ketua Menteri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Khamis.

Fairul Nizam berkata, beliau berharap kepelbagaian masyarakat di Melaka akan terus menjadi asas kepada keharmonian dan kekuatan negeri itu.

Pada masa sama, beliau juga komited untuk meneruskan pelbagai acara berteraskan perpaduan, antaranya Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

75
Kongsi :
Previous post TIGA ACARA WARNAI PELANCONGAN MELAKA DISEMBER INI
Next post AB RAUF BERGELAR DOKTOR PENTADBIRAN PERNIAGAAN