
SLOGAN BAHARU PELANCONGAN MELAKA? FAIRUL NIZAM BUKA RUANG IDEA
SERI NEGERI 22 November – Kerajaan Negeri sedia meneroka pendekatan dan tema baharu bagi memperkukuh promosi pelancongan negeri, selaras dengan usaha mengangkat keunikan destinasi serta identiti Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, perkara itu antara idea yang boleh dibincangkan bagi memastikan sektor pelancongan terus berkembang dengan pendekatan lebih segar.
Menurutnya, perbincangan juga boleh merangkumi pengisian baharu berteraskan semangat Melaka Sayang Rakyat, khususnya dalam memperkukuh elemen perpaduan dan identiti negeri.
“Kita akan berbincang nanti apakah perkara-perkara baharu dalam tema, mungkin dengan semangat perpaduan Melaka Sayang Rakyat, kita boleh menghidangkan sesuatu perkara yang baharu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Khamis.
Mengulas kemungkinan memperkenalkan slogan baharu bagi sektor pelancongan Melaka, Fairul Nizam berkata perkara itu masih perlu difikirkan dan dibincangkan terlebih dahulu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

