PORTFOLIO BAHARU, AMANAH BESAR BUAT ABDUL RAZAK

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 21 November – Tanggungjawab menerajui portfolio perumahan, kerajaan tempatan dan kemajuan desa melibatkan kepentingan serta kesejahteraan rakyat menjadi amanah baharu buat Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman selepas dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Beliau yang sebelum ini memegang portfolio pelancongan, warisan, seni dan budaya berkata, pelantikan baharu itu merupakan tanggungjawab besar memandangkan portfolio berkenaan membabitkan pelbagai jabatan dan agensi yang berhubung secara langsung dengan rakyat.

“Mana-mana portfolio tetap ada cabaran tersendiri, namun apabila tanggungjawab sudah diberikan, kita perlu memikul dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

“Portfolio sebelum ini dan yang terkini adalah dua perkara yang bidangnya amat berbeza, namun begitu kepercayaan ini merupakan satu tanggungjawab besar selain perlu berusaha,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Abdul Razak berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Jezlee Pit; Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron dan Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas itu, keutamaan beliau dalam menerajui portfolio baharu adalah memastikan isu dan aduan rakyat dapat diselesaikan dengan segera.

“Apabila tanggungjawab sudah diberikan, kita perlu melaksanakannya terutama perkara yang melibatkan kepentingan dan keselesaan rakyat.

“Aduan rakyat perlu diselesaikan terlebih dahulu kemudian kita akan lihat dari segi kemampuan sebelum melaksanakan sesuatu kerana kita tidak mahu perkara retorik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

182
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL MODEL PENGURUSAN RAKYAT LEBIH SISTEMATIK