
APLIKASI ‘SMART TOURISM MELAKA AI’ DITAMBAH BAIK, BAKAL DILENGKAPI KEMUDAHAN PEMBAYARAN
BANDA HILIR 22 November – Aplikasi ‘Smart Tourism Melaka AI’ yang membantu pelancong merancang perjalanan dan mencari lokasi menarik di negeri ini akan ditambah baik menerusi pembangunan fasa kedua tahun depan.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata, penambahbaikan itu merangkumi perancangan menyediakan kemudahan pembayaran terus menerusi aplikasi berkenaan bagi memudahkan urusan pelancong.
Menurutnya, pembangunan fasa kedua itu masih dalam peringkat perancangan, selain pihaknya sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi merealisasikan cadangan berkenaan.
“Ketika ini, aplikasi tersebut lebih tertumpu kepada fungsi membantu pengguna merancang jadual perjalanan serta mencari lokasi menarik di Melaka.
“Namun, bagi fasa kedua nanti, kita merancang untuk menyediakan gerbang pembayaran supaya urusan transaksi boleh dilakukan terus menerusi aplikasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kolaborasi Ulang Tahun Ke-55 Mamee X Hard Rock Cafe Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di kafe berkenaan, di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Nasrul berkata, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Melaka ICT Holdings dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Jabatan Ketua Menteri itu mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai pelancong memuat turunnya.
“Buat masa sekarang, aplikasi ini memberi tumpuan kepada kemudahan membantu pelancong mencari lokasi menarik serta merancang jadual perjalanan sepanjang berada di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

