
TAMBAH BEKALAN AYAM, BARANGAN ASAS PROGRAM JUALAN RAHMAH DURIAN TUNGGAL
DURIAN TUNGGAL 22 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa bercadang mengadakan rundingan bersama pihak pembekal bagi menambah kapasiti barangan keperluan asas khususnya ayam pada penganjuran Program Jualan Rahmah di kawasan itu akan datang.
Beliau berkata, langkah itu susulan sambutan amat menggalakkan daripada penduduk pada program berkenaan hari ini sehingga menyebabkan kira-kira 600 ekor ayam yang disediakan habis dijual dalam tempoh yang singkat.
Menurutnya, aduan yang diterima mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 7.30 pagi untuk membeli bekalan ayam, namun stok berkenaan habis sekitar jam 9 pagi selepas jualan bermula pada jam 8.30 pagi.
“Saya sendiri melihat tadi barisan panjang untuk ayam tetapi habis di pertengahan jalan, jadi ada sedikit keresahan.
“Mungkin kita akan adakan rundingan untuk memohon pembekal menambah bilangan ayam disebabkan ayam, daging, telur dan minyak adalah barang keperluan yang menjadi permintaan tinggi masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai sambutan program berkenaan, Mustafa berkata, penduduk sudah mula hadir sejak awal pagi bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Katanya, maklum balas yang diterima daripada para pembeli menunjukkan program itu amat membantu meringankan beban kos sara hidup serta menjimatkan perbelanjaan harian mereka.
“Saya rasa Program Jualan Rahmah ini adalah satu inisiatif terbaik kerajaan yang perlu diteruskan, malah ditingkatkan kapasiti barangan supaya dapat memenuhi kehendak para pembeli,” katanya.
Beliau memaklumkan DUN Durian Tunggal menyambut baik pelaksanaan program berkenaan yang dijadualkan berlangsung sekurang-kurangnya tiga kali sebulan di lokasi berbeza bagi memberi ruang kepada seluruh penduduk setempat menikmati manfaatnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

