MESYUARAT EXCO PERTAMA: MELAKA MULAKAN LANGKAH JANJI MANIFESTO 100 HARI

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KLEBANG 23 November – Pelaksanaan manifesto pilihan raya bakal menjadi antara keutamaan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka apabila barisan Exco akan meneliti setiap komitmen yang dijanjikan kepada rakyat bagi memastikan sasaran 100 hari pertama dapat direalisasikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu akan diberikan perhatian dalam mesyuarat pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai langkah awal menyelaraskan perancangan dan tanggungjawab setiap portfolio.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan bukan sahaja menjadi ruang pengenalan untuk barisan Exco Kerajaan Negeri, malah menjadi platform membincangkan serta menilai janji manifesto supaya pelaksanaannya dapat dirancang dengan lebih tersusun.

“Mesyuarat pertama ini adalah salam perkenalan untuk kita dapat berbincang dan menilai semua janji-janji manifesto kita untuk membawa kepada pencapaian 100 hari pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, penilaian terhadap manifesto itu penting bagi membolehkan setiap Exco memahami skop tanggungjawab masing-masing selain mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menterjemahkan komitmen berkenaan kepada tindakan.

Katanya, setiap portfolio perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara teratur demi memenuhi harapan rakyat.

“Usaha ini juga menjadi antara langkah awal pentadbiran baharu dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat terus diberikan keutamaan,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menggariskan manifesto merangkumi enam teras utama dengan 113 inisiatif menerusi tema ‘Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara’.

Manifesto berkenaan memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu kos sara hidup, peningkatan pendapatan, perumahan, pendidikan, pembangunan ekonomi serta masa depan golongan belia.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan dirangka mengikut tiga fasa garis masa utama iaitu 100 hari pertama, tempoh setahun dan sepanjang lima tahun pentadbiran bagi memastikan setiap komitmen dapat dilaksanakan secara berperingkat dan tersusun.

Pendekatan itu turut membolehkan perkembangan pelaksanaan setiap inisiatif dinilai berdasarkan tempoh ditetapkan, sekali gus memastikan tawaran yang dikemukakan kepada rakyat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post SPM 2026: MELAKA SASAR GRED PURATA NEGERI, PERATUS LAYAK SIJIL MENINGKAT