
13,372 CALON DUDUKI SPM 2026 DI MELAKA
KLEBANG 23 November – Seramai 13,372 calon berdaftar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di 102 pusat peperiksaan seluruh Melaka yang bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
Daripada jumlah itu, seramai 11,418 calon atau 85.4 peratus terdiri daripada pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Ia diikuti 764 calon persendirian (5.7 peratus), 684 calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (5.2 peratus), 474 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM (3.5 peratus) dan 32 calon sekolah agama negeri (0.2 peratus).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, seramai 195 calon daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar memulakan peperiksaan berkenaan hari ini.
Menurutnya, pemilihan sekolah itu dibuat tanpa temu janji atau sebarang persediaan awal bagi melihat sendiri tahap persediaan pihak sekolah dan guru dalam memastikan calon menghadapi peperiksaan dengan baik.
“Saya datang untuk melihat bagaimana guru-guru telah bersedia memberikan hala tuju kepada anak-anak murid mereka dalam menghadapi cabaran SPM pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni calon SPM menerusi program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di sekolah berkenaan, di sini, pagi ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf mendoakan agar semua calon SPM di Melaka dapat melakarkan kejayaan serta memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang berada di bangku sekolah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas usaha dan pengorbanan mendidik generasi muda sebagai persediaan memenuhi keperluan masa depan negara.
Sementara itu, menurut Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, seramai 1,948 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan di semua pusat berkenaan.
Daripada keseluruhan calon, seramai 132 pelajar didaftarkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK), membabitkan dua calon kurang penglihatan, tiga calon kurang pendengaran serta 127 calon dengan lain-lain kekurangan termasuk fizikal, autisme dan kecacatan pelbagai.
Bagi memenuhi keperluan calon CBK, kemudahan seperti kertas soalan bercetak besar, tambahan masa, pengecualian Ujian Bertutur Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta bilik khas disediakan mengikut keperluan masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

