TIMBALAN EXCO PERKUKUH JENTERA PENTADBIRAN MELAKA, KHIDMAT RAKYAT JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 23 November – Pelantikan Timbalan Exco dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bukan perkara baharu, sebaliknya struktur itu sudah dilaksanakan sejak penggal terdahulu bagi membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penyusunan struktur berkenaan dibuat berdasarkan keperluan pentadbiran negeri dan tanggungjawab beliau untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kerajaan yang terbaik.

Menurutnya, Timbalan Exco yang juga terdiri daripada wakil rakyat boleh membantu Exco menguruskan tanggungjawab serta pelbagai perancangan mengikut portfolio masing-masing.

“Melaka ini negeri kita dan saya bertanggungjawab untuk menguruskannya dalam memastikan bahawa rakyat Melaka akan mendapat perkhidmatan kerajaan yang terbaik daripada struktur yang saya susunkan.

“Saya yakin setiap Exco mempunyai pelbagai perancangan dan kesibukan mereka, tetapi mereka boleh dibantu dengan Timbalan Exco yang dilantik ini kerana mereka (Timbalan Exco) juga wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni calon SPM menerusi program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, dalam menguruskan pentadbiran, Kerajaan Negeri tidak pernah terkeluar atau melangkaui garis lantikan Exco Kerajaan Negeri yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, jelas beliau, setiap negeri mempunyai keperluan dan susunan pentadbiran tersendiri, justeru perbandingan struktur antara negeri perlu mengambil kira keadaan serta keupayaan masing-masing.

Katanya, beliau bertanggungjawab menentukan susunan pentadbiran Melaka dan yakin struktur yang dibentuk mampu membantu memastikan rakyat menerima perkhidmatan kerajaan sebaik mungkin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post 13,372 CALON DUDUKI SPM 2026 DI MELAKA