
SPM 2026: MELAKA SASAR GRED PURATA NEGERI, PERATUS LAYAK SIJIL MENINGKAT
KLEBANG 23 November – Melaka menyasarkan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 pada 4.17 mata berbanding 4.26 mata yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka turut menyasarkan peningkatan peratus calon yang layak memperoleh sijil SPM kepada 97.33 peratus berbanding 97.07 peratus pada 2025.
“Kedua-dua sasaran ini mencerminkan iltizam kita untuk terus memperkukuh prestasi pendidikan negeri, bukan sahaja dengan meningkatkan pencapaian akademik, tetapi memastikan lebih ramai anak Melaka memiliki kelayakan untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni calon SPM menerusi program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut komited memastikan semua aspek pengurusan peperiksaan termasuk keselamatan, kebajikan dan keperluan calon diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan keseluruhan proses berlangsung lancar dan teratur.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, seluruh warga pendidik, petugas peperiksaan serta ibu bapa atas usaha dan pengorbanan mempersiapkan anak-anak menghadapi peperiksaan berkenaan.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada 13,372 calon SPM 2026 di seluruh Melaka dan berharap mereka dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang, penuh keyakinan serta memberikan prestasi terbaik.
“Saya percaya, kejayaan anak-anak Melaka bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, tetapi turut menjadi sandaran kepada masa depan dan kegemilangan negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

