Sorting by

×

PANTAI TANJUNG BIDARA SEMAKIN BERSERI OGOS INI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA 10 Julai – Pantai Tanjung Bidara yang terletak di daerah Alor Gajah bakal kembali bersinar apabila beberapa tarikan baharu kini sedang giat dibangunkan.

Antara projek yang bakal memberi nilai tambah kepada pantai peranginan tersebut adalah pembinaan litar kereta kawalan jauh (RC) yang kini sedang dalam pembinaan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, kemajuan pembinaan produk pelancongan sukan dan rekreasi ikonik negeri itu kini telah mencapai 55 peratus.

“Apabila siap kelak, litar RC pertama Negeri Melaka ini dijangka akan menjadi satu lagi daya tarikan baharu dan menarik kelompok peminat kereta kawalan jauh di negara ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, TPr. Saifuddin telah mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke tapak pembinaan litar tersebut bagi melihat progres pembinaannya.

Jelas beliau, pada lawatan itu juga, Ketua Menteri turut dibawa melihat cadangan naik taraf gerai untuk kemudahan di kawasan Tanjung Bidara yang bakal dimulakan pada Ogos ini.

Selain itu, kata beliau, kemudahan awam seperti tandas dan surau serta tahap kebersihan pesisir pantai juga akan ditingkatkan bagi memberi nafas baharu kepada Pantai Tanjung Bidara.

“Diharap usaha yang dilakukan MPAG ini akan mengembalikan kegemilangan dan nostalgia Pantai Tanjung Bidara yang pernah popular suatu ketika dahulu dan seterusnya berjaya menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post ANGGOTA TENTERA MAUT REMPUH KERETA MASUK SIMPANG MENGEJUT
Next post PENIAGA RUGI LEBIH SETENGAH JUTA DIPERDAYA SINDIKET TAWARAN KERJA TIDAK WUJUD