Pantai Tanjung Dahan diselamatkan dengan RM2.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LINGGI 20 Mac – Pantai Kampung Nelayan Tanjung Dahan, di sini yang semakin ‘hilang’ akibat hakisan serius akan dibaik pulih melalui peruntukan RM2.5 juta.

Ia adalah kos untuk memanjangkan dua benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ sedia ada yang siap dibina tahun lalu, selain menambak semula pasir pantai yang semakin menyusut.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Abdul Hakim Hamzah menjelaskan, sebut harga bagi kerja berkenaan sudah dikeluarkan baru-baru ini bagi membolehkan kontraktor menjalankan kerja itu tidak lama lagi.

“Jabatan memandang serius masalah hakisan pantai di kampung itu dan kerja pemulihan pantai akan dibuat tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.

Hakisan pantai di kampung berkenaan sudah berlarutan sejak 2020 apabila kawasan itu dihakis secara evolusi oleh ombak besar yang terhasil melalui angin kencang dari arah selatan.

Namun, JPS segera membina benteng pemecah ombak dengan kos kira-kira RM800,000 tahun lalu bagi membantu mengurangkan hakisan.

Meskipun begitu, hakisan pantai masih tetap menghantui selepas sebahagian besar lagi pantai yang berfungsi sebagai pangkalan perahu dan peralatan menangkap ikan nelayan musnah akibat fenomena berkenaan.

Balai nelayan di Kampung Nelayan Tanjung Dahan semakin terhakis sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati sebahagian besar pangkalan nelayan sudah musnah dan nelayan terpaksa mengalihkan perahu lebih jauh dari ‘gigi pantai’.

Seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak hujung tahun lalu dan nelayan tidak mempunyai pilihan lain, selain terpaksa menarik perahu masing-masing lebih jauh ke darat.

“Kami amat berharap agar kerajaan segera menjalankan kerja pemulihan pantai kerana semakin hari, hakisan bertambah teruk.

“Keadaan itu amat menyukarkan kami menolak perahu dari pangkalan ke laut untuk menjaring atau merawai di tengah laut dan begitu juga ketika menarik naik perahu selepas pulang dari menangkap ikan,” katanya.

Difahamkan, selain membina ‘groyne’ dan menambak pasir pantai di kawasan terjejas, JPS turut membina tembok penahan ombak di gigi pantai bagi memulihara pantai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2161
Kongsi :
Previous post Pihak swasta boleh bantu anjur kembali perlumbaan F1 di Malaysia
Next post Lim Kit Siang umum bersara, tidak akan bertanding PRU
Ubah saiz-+=