PAS Melaka desak PBT bekukan pengeluaran lesen arak dan judi

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 4 Jun – PAS Melaka mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) agar membeku dan tidak mengeluarkan sebarang perlesanan arak dan perjudian di negeri ini, mahupun sebarang apa sahaja perkara yang boleh memabukkan.

Pesuruhjayanya, Kamarudin Sidek menegaskan pembekuan membabitkan penjualan arak dan perkhidmatan judi perlu dilaksanakan di seluruh tempat hiburan dan premis perniagaan di negeri ini.

Menurutnya, perkara berkenaan perlu dilaksanakan berikutan bagi melawan isu yang berlarutan sebelum ini membabitkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk hingga menyebabkan kemalangan jiwa.

“Sehubungan itu, Pas Melaka telah menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi menggesa agar membekukan penjualan arak dan perjudian dihentikan di Melaka.

“Malah, melalui memorandum ini kami turut memohon agar majlis perbandaran atau PBT supaya tidak mengeluarkan sebarang lesen, mahupun permit berkaitan aktiviti perdagangan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, di sini semalam.

Dalam pada itu, melalui memorandum berkenaan, PAS Melaka turut menyarankan kerajaan negeri agar mengutamakan integriti yang perlu diamalkan dalam kalangan exco, penjawat awam dan lantikan politik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Beliau yang juga merupakan Pegawai Penasihat Agama kepada Ketua Menteri itu berkata, kerajaan perlu lebih menumpukan kepada kaedah bagi meningkatkan ekonomi rakyat yang lebih terkesan disebabkan penularan Covid-19 daripada terpalit dengan kancah provokasi politik yang berlaku di negeri ini.

“Kami berharap kerajaan dapat mengurangkan birokrasi antara rakyat dan agensi-agensi kerajaan tanpa mengira latar belakang politik.

“Malah perlu mengutamakan sektor agama Islam sebagai pemangkin dalam segala urusan kerajaan dan rakyat tanpa meminggir, agama-agama lain,” katanya.

Views:

412
Kongsi :
Previous post Melaka kaji semula peraturan penjualan arak
Next post PAS Melaka nekad sokong PN tatkala dakwaan berlaku kemelut politik
Ubah saiz-+=