Pasangan beregu Melaka optimis sasar lakar kejayaan di Terbuka Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 2 Jun – Kejayaan Meraih gangsa pada penampilan sulung di Sukan SEA ke-31, Hanoi, Vietnam diharap menjadi permulaan buat pasangan beregu badminton kelahiran Melaka melakar lebih banyak kemenangan dalam kejohanan antarabangsa.

Atas sumbangan gangsa pada Sukan SEA lalu Man Wei Chong, 23 dan Tee Kai Wun, 22 menerima ganjaran masing-masing berjumlah RM8,000 daripada kerajaan negeri.

Anak jati kelahiran Jasin, Kai Wun, 22 berkata kemenangan itu adalah kejayaan paling tinggi diraihnya di peringkat antarabangsa.

Baginya, kepercayaan beraksi pada Sukan SEA dianggap sebahagian pengalaman yang perlu dikutip untuk mempamer aksi cemerlang pada kejohanan akan datang.

“Sukan SEA bukan kejohanan yang kecil, ia memberikan pengalaman yang sangat bagus untuk meningkatkan prestasi kami.

“Apapun, selepas kemenangan ini saya tidak meletakkan apa-apa harapan kerana sasaran untuk berada dalam kalangan pemain terbaik dunia perlu dilakukan langkah demi langkah, memerlukan latihan intensif berterusan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM8,000 dibawah Skim Hadiah Insentif Kemenangan Negeri Melaka, di sini hari ini.

Perasaan sama dizahirkan Wei Chong, 23 yang berazam mahu terus berusaha keras mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan Terbuka Malaysia pada bulan hadapan.

“Meskipun sudah menyertai banyak kejohanan antarabangsa sebelum ini, namun Sukan SEA adalah penampilan pertama kami dan kejayaan paling besar dicapai, sudah tentu saya akan lakukan terbaik untuk negara dalam kejohanan akan datang,” katanya.

Mereka yang kini berada pada ranking ke-37 dunia menjadikan anak kelahiran Melaka, Aaron Chia sebagai pemain contoh dan berhasrat memperbaiki kedudukan itu.

Sebelum ini pasangan itu berada pada rangking ke-33 dunia namun jatuh empat anak tangga ke tangga 37 mengikut kedudukan semasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

946
Kongsi :
Previous post PGA tumpas sindiket seludup minyak subsidi di Pasir Gudang
Next post COVID-19 Sinovac, Kemboja tandatangani MoU pembotolan vaksin
Ubah saiz-+=