Pasukan Cantas Khas tangani gengsterisme sepanjang PRN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 7 Nov – Polis akan menggerakkan 32 pasukan Cantas Khas bagi memastikan tidak berlaku unsur gengsterisme sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis, Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pasukan Cantas Khas itu terdiri daripada 235 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kontinjen negeri.

Katanya, Pasukan Cantas Khas itu akan menjalankan rondaan setiap masa di kawasan-kawasan panas seluruh negeri Melaka.

“Pasukan Cantas Khas ini bertujuan serampang dua mata iaitu membantu pasukan polis Melaka dalam menentukan perjalanan semua kaedah PRN Melaka ini mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita (PDRM) akan sentiasa bersiap sedia dengan Pasukan Cantas Khas untuk cantas awal-awal jika terdapat elemen-elemen gengsterisme diketengahkan dalam pilihan raya.

“Nasihat pihak polis agar parti-parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka ini mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Op PRN DUN Melaka 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), Bukit Beruang di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalannya, Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata bilangan anggota terlibat dijangka akan meningkat dari masa ke semasa.

Tambahnya, pihak polis sentiasa bersedia menangani apa sahaja isu jenayah bagi memastikan PRN Melaka ini berjalan lancar.

“Kita sentiasa bersiap sedia dengan pasukan Cantas Khas ini dan diingatkan kepada semua pihak termasuk parti politik yang bertanding dalam PRN kali ini untuk mengikut undang-undang serta peraturan,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post Pasukan pemantau bersepadu ditempatkan di Pusat Penamaan Calon PRN Melaka
Next post Mesyuarat parti politik dibenarkan, terhad 50 peratus kapasiti ruang
Ubah saiz-+=