Pegawai bomba terkena letupan di Segamat, meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

JOHOR BAHRU, 13 Dis – Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman yang cedera parah akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Segamat, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.10 pagi tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Beliau berkata Mohd Firdaus, 32, yang telah berkhidmat di balai bomba berkenaan sejak 2013, meninggalkan seorang isteri, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, dan anak perempuan Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat seluruh pasukan balai bomba ini dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, amnya.

“Beliau merupakan seorang pegawai yang baik, berdisiplin dan bertanggungjawab. Seluruh keluarga JBPM menyanjung tinggi jasa Allahyarham kerana sentiasa setia dan komited menjalankan tugas,” katanya.

ALLAHYARHAM Mohd Firdaus Sulaiman

Mazuki berkata jenazah kini berada di Jabatan Forensik di hospital berkenaan untuk proses mandi dan kafan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya.

Jenazah Mohd Firdaus dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi Sabtu lepas, Mohd Firdaus dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1482
Kongsi :
Previous post Malaysia Space-X 2030 pacu pertumbuhan sektor angkasa
Next post Lebih RM156 bilion dibelanjakan untuk pakej bantuan, rangsangan ekonomi
Ubah saiz-+=