Pekerja pembersihan dakwa Jambatan Panglima Awang tempat ‘keras’

Masa Membaca:3 Minit, 42 Saat

SUNGAI Melaka dahulunya tercemar dengan sisa kumbahan dan sampah kini menjadi antara destinasi wajib dilawati pelancong apabila berkunjung ke Melaka.

Keindahan dan kebersihan serta suasana damai landskap dan laluan siar kaki di sungai yang mengalir di tengah-tengah kawasan bangunan warisan dan moden, menjadikan Sungai Melaka sebagai imej negeri ini sehingga kini.

Namun, siapa sangka untuk mengekalkan keindahan, kebersihan dan keselamatan sungai kebanggaan negeri bersejarah ini, pelbagai cabaran terpaksa diharungi petugas Pasukan Emergency Response Team (ERT) dan Unit Pembersihan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

 

SHAHRIL

Bagi Shahril Abu, 31, bergelar Ketua Pasukan ERT PPSPM bukanlah satu tugasan mudah selepas bermula sebagai pekerja am di situ sejak 2010.

Katanya, pada awalnya agak susah kerana perlu mempelajari banyak perkara, namun selepas 11 tahun bekerja kini dia mampu mengendali bot di situ selain belajar asas cara menyelamat.

TANGKAP BUAYA TEMBAGA

Ujarnya, sepanjang bekerja antara pengalaman paling tidak boleh dilupakan apabila bersama pasukannya pernah menangkap buaya tembaga di Sungai Melaka.

“Kejadian berlaku kira-kira lima atau enam tahun lalu, waktu saya bertugas waktu pagi dan dapat panggilan daripada jurumudi bot mengatakan pelancong nampak anak buaya, berukuran enam kaki panjang (kira-kira 1.8 meter).

“Kami terus bergegas ke tempat kejadian, dan mendapati benar ada seekor buaya tembaga muncung tirus dan segera menghubungi PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara), namun sukar bagi pihak terbabit untuk menangkap buaya itu kerana faktor Sungai Melaka ketika itu tidak bertebing.

“Jadi, kami pasukan ERT sepakat untuk menangkap buaya itu sendiri bagi membantu pihak PERHILITAN, namun pelbagai kaedah dan cara digunapakai tetap gagal sehinggalah ada antara ahli pasukan menyuarakan hasrat untuk menangkap buaya tersebut menggunakan kaedah menangkap ular.

“Ini kerana kami semua berpengalaman menangkap ular di kawasan Sungai Melaka dan akhirnya buaya tembaga itu dapat ditangkap.

“Kami menjerut kepala dan ekor buaya menggunakan tali sebelum diikat dan kepalanya ditutup dengan kain…dipercayai buaya itu masih ada di Taman Buaya Melaka,” ujarnya dengan nada bersemangat.

Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, selain menangkap buaya, dia pernah menjumpai lebih 10 mayat sepanjang bertugas menjaga keselamatan sungai namun enggan mengulas lanjut pengalaman terbabit.

Sharil berkata, keadaan lain yang kerap dihadapi seperti terserempak kumpulan hisap gam, gelandangan dan orang mabuk yang duduk di tepi tebing sungai.

“Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti jatuh dalam air, lemas dan sebagainya, maka pihak ERT akan ‘halau’ golongan terbabit supaya menjauhi dari tebing sungai,” katanya lagi.

DETIK CEMAS, BOT HAMPIR KARAM

Sementara itu, Pekerja Am Unit Pembersihan Sungai Melaka, PPSPM, Ahmad Fitri Abdullah, 27, pula berkata, sepanjang tiga tahun bertugas mengutip sampah di sepanjang Sungai Melaka, dia pernah berdepan kejadian cemas bot pembersihan hampir karam.

AHMAD Fitri.

“Masa kejadian itu, paras air sungai rendah dan bot yang dipandu rakan ketika itu mengalami kebocoran akibat terlanggar ‘piling’ di tebing Sungai.

“Masa tu sangat cemas…bila air dah mula memenuhi ruangan belakang bot, dengan keadaan bot dah nak karam tapi kami cepat-cepat cedok buang air sungai dan terus ambil baju yang kami guna untuk menutup kebocoran terbabit sementara menunggu unit bantuan datang membantu untuk tarik bot ke pangkalan,” katanya.

KONDOM DAN TILAM ANTARA SAMPAH

Katanya, sampah paling luar biasa ditemui sepanjang dia bertugas ialah tilam bersaiz besar yang dibuang ke dalam Sungai Melaka selain kerap menjumpai kondom terpakai dibuang di Sungai itu.

“Sampah yang banyak dibuang di sungai ini bukannya sisa makanan tapi lebih kepada kayu-kayu sisa pembinaan, tilam, patung sembahyang selain ada orang menjadikan sungai ini tempat membuang ancak, barang sembahyang, botol berisi kain kuning serta barangan disyaki ada unsur syirik,” kata bapa kepada dua anak itu.

LOKASI SERAM

Sementara itu rakannya, Mohd Syafizie Othman, 24,  pula berkongsi pengalaman seram ketika membersihkan Sungai Melaka pada waktu malam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

JAMBATAN Pasar dikatakan ‘keras’ dan dikaitkan cerita tempat tentera Jepun memenggal kepala pembelot pada zaman pemerintahan Jepun di Melaka dulu.

“Waktu nak masukkan sampah ke dalam tong roro disediakan pasti ada antara kami terjatuh sendiri ke dalam sungai, seolah-olah ada ‘benda’ menolak.

“Itu antara perkara pelik yang berlaku di Jambatan Panglima Awang yang kami anggap ‘keras’.

“Selain itu jika mengutip sampah di sungai Melaka Fasa 1 waktu malam dan melalui Jambatan Pasar di situ, kita berasa seram sejuk, kononnya kata orang kawasan itu tempat tentera Jepun memancung kepala pembelok zaman dulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1001
Kongsi :
Previous post KPM kecualikan sewa kantin, premis atau ruang sekolah selama enam bulan
Next post Muhyiddin masih dirawat di hospital akibat jangkitan sistem penghadaman
Ubah saiz-+=