Sorting by

×

PELAJAR SEKOLAH KAGUM MELAKA MILIKI TOKOH, KISAH SEJARAH HEBAT

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KLEBANG 26 September – Seronok dan kagum. Itu reaksi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ade Putra apabila diberi peluang melihat sendiri Pameran Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia: Enrique De Malaca yang diadakan di Encore Melaka bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025.

Pameran yang diadakan secara percuma pada 23 hingga 30 September itu bukan sahaja membuka mata mereka mengenai Panglima Awang atau Enrique de Malaca, bahkan ia juga menjadi inspirasi bahawa Melaka memiliki seorang tokoh hebat yang menjadi manusia pertama mengelilingi dunia.

Salah seorang pelajar, Nur Syaqilla Balqis Mohd Noor Hafifi, 13, berkata, pameran itu membuatkannya kagum dan bangga kerana dapat mengenali kisah Panglima Awang yang begitu luar biasa.

“Selain mengetahui sejarah-sejarah yang baru saya tahu, saya juga sangat berbangga kerana Melaka pernah melahirkan seorang tokoh yang menjadi manusia pertama mengelilingi dunia.

“Pada saya, pameran ini sangat bagus dan berharap lebih ramai murid dan pelajar dapat datang ke sini untuk mengenali siapa itu Panglima Awang,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas pameran berkenaan.

Whatsapp image 2025 09 25 at 20.13.15 (1)
REAKSI pelajar mencatat nota mengenai kisah hebat Panglima Awang. Foto Pejabat Ketua Menteri

Nada keterujaan turut dizahirkan seorang lagi pelajar, Muhammad Farieez Azam Ahmad Faizal, 13 dari Pengkalan Balak yang mahu menjadikan Panglima Awang sebagai tokoh inspirasi dan idolanya.

“Di sini, saya berjaya menambah banyak ilmu baharu tentang sejarah dan dapat mengenali Panglima Awang yang pernah menjadi seorang manusia hebat yang berjaya mengelilingi dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Ade Putra Zaliza Md Zali berkata, seramai 38 pelajar bersama empat guru pengiringi menyertai lawatan sambil belajar ke pameran tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada anak murid bahawa Melaka bukan sahaja memiliki sejarah yang hebat, bahkan turut melahirkan tokoh Melayu luar biasa.

Menurutnya, ia sekali gus mendidik generasi muda masa kini agar bangga dengan tanah air sendiri dan tidak lagi mengagung-agungkan tokoh dari luar.

“Kita mahu kesedaran mencintai sejarah dan kisah hebat tokoh seperti Panglima Awang ini dapat dipupuk di peringkat paling awal iaitu di bangku sekolah.

“Oleh sebab itu, selain membawa pelajar ke pameran, kita juga meminta pelajar mencatat maklumat penting, di mana kita akan menganjurkan kuiz di sekolah dan pemenang yang berjaya menjawab kuiz tersebut akan menerima hadiah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post MELAKA TUAN RUMAH TECHLYMPIC KEBANGSAAN NOVEMBER INI
Next post ‘JOYRIDE’ PACU PELANCONGAN MELAKA TERBANG TINGGI