
PELANCONG KE MELAKA MENINGKAT 25 PERATUS
DUYONG 25 Oktober – Sektor pelancongan Melaka terus meroket apabila merekodkan 13.5 juta pelancong dari Januari hingga September tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus merekodkan
peningkatan 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut beliau, peningkatan itu telah memberi impak yang besar kepada ekonomi, sosial dan imej negeri Melaka apabila merekodkan nilai hasil RM14.42 bilion.
“Jumlah ini meningkat sebanyak RM5.85 bilion atau 68.3 peratus setakat September 2025.
“Bagi mengekalkan momentum ini, pendekatan pelancongan berimpak tinggi dan lestari perlu dimantapkan agar manfaat ekonomi dan sosial dapat dinikmati secara berterusan oleh rakyat Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Lestari Seni Budaya – Majlis Perasmian Festival Seni Selat Melaka dan Festival Sungai Melaka 2025 di Dataran Pengkalan Rama.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka Mohd Radzi Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Pengarah JKKN Negeri Melaka Ezlina Alias serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, di bawah pentadbiran beliau, Kerajaan Negeri komited merangka inisiatif inklusif bagi memastikan Melaka dikenali sebagai negeri contoh yang menjadi penanda aras kecemerlangan pelancongan Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


