Sorting by

×

PEMBANGUNAN BAHARU DI BAZAR MELAKA SENTRAL BERMULA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 23 Disember – Kawasan Bazar Melaka Sentral akan dibangunkan dengan fasiliti bangunan baharu merangkumi hotel dan ‘service apartment’ bermula 2026.

Projek tersebut bakal dibangunkan oleh MCORP Neolestary Sdn Bhd yang merupakan syarikat di bawah usaha sama kumpulan syarikat Perbadanan Melaka (MCORP) iaitu PM Multilink (PMML) Sdn Bhd dan pihak swasta, Herald Accord Sdn Bhd.

Pengurus Besar PM Multilink Sdn Bhd, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Radzi menyifatkan pembangunan tersebut bukan sekadar bakal beri manfaat dalam bidang hartanah, bahkan turut menyumbang kepada sosioekonomi di kawasan tersebut.

“Jangkaan projek ini akan bermula pada Jun 2026 dengan menyaksikan kerja-kerja meroboh akan dilakukan dan pada Oktober 2026 seterusnya kerja-kerja pembinaan akan mula dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham di antara Herald Accord Sdn Bhd, PMML Sdn Bhd dan MCORP Neolestary Sdn Bhd dan Perjanjian Pembangunan di antara Perbadanan Melaka (MCORP) dan MCORP Neolestary Sdn Bhd di Seri Negeri, hari ini.

Perjanjian usahasama itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Pengarah Heral Accord Sdn Bhd, Wong Pau Meng dan Pengarah MCORP Neolestary Sdn Bhd, Wong Pau San.

Whatsapp image 2025 12 23 at 17.02.44
MUHAMMAD FAIZ

Menurut Muhammad Faiz, projek pembangunan itu bakal dilaksanakan dengan nilai kira-kira RM300 juta dan bakal memberi limpahan manfaat yang pelbagai kepada golongan pelabur dan masyarakat setempat amnya.

“Nilai pembangunan projek tersebut adalah merangkumi kepada semua aspek pembangunan dan kami akan unjurkan manfaat yang akan diterima semua pihak, bukan sahaja golongan pelabur tetapi juga kepada rakyat negeri ini.

“Projek ini akan dibangunkan mengikut dua fasa, namun ia bergantung kepada beberapa perbincangan terperinci selepas ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post SUNGAI RAMBAI MAHU TERUS JADI LOKASI FESTIVAL DESA
Next post MELAKA BERSELAWAT PENGISIAN ROHANI SAMBUT 2026