Pembukaan pintu sempadan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BUKIT KAYU HITAM 30 Sept. – Pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik COVID-19.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Apabila kita telah bersedia, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

“Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya.

HAMZAH (kiri) dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia kepada Polis Diraja Malaysia. Foto- KDN.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing itu juga nanti akan tertakluk kepada prosedur operasi standard yang akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan kebocoran maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentiti, Hamzah menegaskan hanya agensi kerajaan sahaja yang dibenarkan menggunakan maklumat itu.

“Saya sudah maklumkan bahawa kami hanya beri kepada agensi kerajaan sahaja, kami tidak beri kepada pihak swasta. Jadi itu (dakwaan bahawa maklumat itu diberikan kepada pihak swasta) hanya andaian yang dibuat semata-mata,” katanya.

Mengenai pembubaran AKSEM dan penyerahan fungsinya kepada PGA di bawah PDRM, Hamzah berkata ia akan menjadikan penyaluran ‘perintah dan kawalan’ daripada pihak atasan berkaitan operasi dan kawalan di sempadan negara lebih mudah dan berstruktur.

“Kami akan pastikan mempunyai tugasan yang fokus kepada masalah yang kita hadapi di sempadan-sempadan. Kami gabungkan tugasan itu supaya PGA akan dapat memastikan segala tugasan yang di bawah AKSEM dulu, PGA juga akan mengambilnya sebagai keutamaan,” katanya.

Hamzah berkata, kesemua aset AKSEM akan diambil alih dan diuruskan oleh PGA, sementara seramai 909 anggota dan pegawai perjawatan asal dalam AKSEM akan dikembalikan kepada agensi masing-masing.

Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM dan Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan itu dilaksanakan.

AKSEM yang ditubuhkan pada Disember 2017 melibatkan keanggotaan daripada lima agensi iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi AntiDadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post Program percuma sanitasi sekolah
Next post Peruntukan RM3.5 bilion bangunkan semula Melaka Sentral
Ubah saiz-+=