Pembukaan semula laluan VTL Malaysia – Singapura rancakkan semula sektor ekonomi – Mustapa

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

JELI, 22 Jan – Pembukaan semula penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura akan merancakkan kembali sektor ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa itu memberikan kelegaan kepada sektor ekonomi terutamanya keputusan itu dibuat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kita mengalukan keputusan membuka semula VTL Malaysia dan Singapura yang dihentikan sebulan lalu. Dengan pembukaan ini bukan saja ia dapat kembali meningkatkan sektor ekonomi negara, malah memberi kelegaan kepada masyarakat Cina yang mempunyai hubungan kekeluargaan di kedua-dua negara.

“Kita lihat sekarang peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) boleh bernafas semula apabila kita beransur-ansur membuka pintu sempadan negara selepas melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Pejabat Pusat Khidmat Dato’ Pa Bukit Bunga, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif VTL antara Malaysia dan Singapura yang digantung sementara sejak 23 Dis lepas, dibuka semula berkuat kuasa semalam.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kuota tiket bas dan penerbangan yang dijual dikurangkan 50 peratus daripada kapasiti sedia ada. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post Pemilihan PKR 22 hingga 29 April, Kongres Nasional 10 Hingga 12 Jun – Saifuddin
Next post PRN: MIC Johor harap BN kekal kerusi tradisi
Ubah saiz-+=