Pemerkasaan mahasiswa UTeM menerusi formula TUAH Index

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Mac – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempunyai formula tersendiri bagi mencorak pencapaian unggul mahasiswa secara holistik menerusi kaedah TUAH Index.

Kaedah TUAH Index dibangunkan sebagai platform yang mampu mengukur takat pencapaian merit keaktifan dan kompetensi mahasiswa melalui penglibatan ko-kurikulum, aktiviti dan program.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, pelaksanaan indeks ini menitikberatkan penglibatan mahasiswa dalam 8 dimensi TUAH UTeM.

Jelasnya, dimensi tersebut adalah akademik dan kerjaya, pengurusan dan kepimpinan, sukan dan rekreasi, budaya dan identiti nasional, sukarelawan, teknikal dan inovasi, keusahawanan, dan etika dan rohani.

Ujarnya, bagi setiap dimensi tersebut pula mahasiswa akan diberikan merit berdasarkan kepada 6 indikator merangkumi penglibatan pelajar dalam program dan aktiviti mengikut jawatan, berdasarkan peringkat, pengiktirafan dan kemenangan yang diperoleh, kemahiran pelajar untuk rujukan, fasilitator atau mentor, penglibatan dalam organisasi/kelab/persatuan serta pencapaian akademik dan anugerah.

“Pemberian merit ini menampakkan tahap keaktifan mahasiswa melalui rumusan aras kompetensi TUAH UTeM yang diperoleh setelah tamat pengajian.

“Aras kompetensi TUAH UTeM adalah berdasarkan 4 tahap pemarkahan yang diperoleh yang mana skor minimum 20 (kategori novis), skor 21-50 (kategori pertengahan), skor 51-80(maju) dan skor melebihi 80 (cemerlang),” ujarnya lagi sewaktu ditemubual di pejabat beliau di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, semalam.

Dr Sabri menjelaskan, pelaksanaan TUAH Index ini tentunya menyuntik motivasi mahasiswa untuk melibatkan diri dalam program dan aktiviti sepanjang pengajian yang mana melalui sistem merit yang dilaksanakan ini, penglibatan dan pencapaian mahasiswa dapat direkodkan seterusnya menjadi platform rujukan sepanjang masa samada semasa pengajian atau setelah bergraduasi.

“Semasa pengajian, mahasiswa dapat mengukur dan memantau tahap penglibatan mereka dari semasa ke semasa seterusnya membuat perancangan bagi memastikan keterlibatan mereka dalam aktiviti dan program.

“Setelah bergraduasi pula, keterlibatan mahasiswa yang telah direkodkan dalam TUAH Index akan menjadi nilai tambahan sewaktu sesi temuduga ketika ingin memasuki industri yang sebenar.

“Secara rumusannya, TUAH Index ini dibangunkan bagi memperlihatkan pembangunan mahasiswa yang lebih holistik yang bukan hanya menguasai akademik semata-mata tetapi merangkumi kemahiran insaniah sepenuhnya,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2078
Kongsi :
Previous post Suami isteri ditemui mati terkena renjatan elektrik di bilik air
Next post Subsidi bersasar perlu diperluas kepada barangan bersubsidi lain bagi elak ketirisan
Ubah saiz-+=