Penamaan calon PRN Melaka jam 9 pagi ini

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MELAKA 8 Nov – Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka bermula pada jam 9.00 pagi dengan kehadiran calon parti masing-masing di 28 lokasi pusat penamaan calon.

Proses itu bagaimanapun diadakan dalam suasana norma baharu dengan tiada perarakan penyokong parti mengiringi calon ke pusat penamaan sebagaimana pilihan raya terdahulu.

Penyokong parti yang bertanding perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan aktiviti aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding sepanjang proses berkenaan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Setakat jam 8.30 pagi tadi, anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula mengawal ketat 28 lokasi penamaan calon bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dijangka dijangka menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Kompleks Dewan Japerun Lendu, Masjid Tanah pada jam 9 pagi ini.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengemukakan borang penamaan di Dewan Kompleks Tanjung Bidara, Kuala Sungai Baru.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada hari ini dan undi awal 16 Nov.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

526
Kongsi :
Previous post Mesyuarat parti politik dibenarkan, terhad 50 peratus kapasiti ruang
Next post Rauf, Mas Ermieyati tiba di pusat penamaan DUN Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=