Sorting by

×

PENCAPAIAN CEMERLANG ‘HADIAH’ 100 TAHUN PANDU PUTERI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Ogos – Sambutan 100 tahun penubuhan Pandu Puteri di Melaka bukan sahaja membawa makna yang besar, malah lebih membanggakan diiringi dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan cemerlang ahli-ahlinya.

Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Melaka (PPPMCM) Datin Wira Nurazlina Md Sanusi berkata, semangat dan kejayaan Pandu Puteri di Melaka tidak akan terhenti, bahkan akan terus ditambah baik dalam memacu persatuan itu ke arah kegemilanhan.

Beliau berkata, pertemuan antara kepimpinan lama dan baharu juga akan menjadi wadah untuk belajar serta mencontohi kejayaan lalu.

“Sepanjang 100 tahun Pandu Puteri di Melaka banyak kejayaan sudah dilakar malah melalui persatuan ini juga ramai ahli telah mencapai kejayaan dalam kokurikulum sama ada di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Selain itu juga PPPMCM secara konsisten telah melahirkan Pandu Puteri Raja setiap tahun disamping Anugerah Tunas Harapan dan Anugerah Pandu Puteri Remaja.

“Disamping itu, PPPMCM sentiasa berusaha untuk menambah baik mutu penilaian calon Pandu Puteri Raja dengan memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin mengambil ujian Lencana-Lencana Jurubantu Mula, Quartermaster/Jurumasak dan Lesen Perkhemahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ‘Honouring Girl Guiding Roots In Melaka’ – Where It All Began: 1925 In Methodist Girls’ School, di sini, semalam.

Img 20250809 164219
NURAZLINA dan kenamaan bergambar bersama pada Majlis ‘Honouring Girl Guiding Roots In Melaka’ – Where It All Began: 1925 In Methodist Girls’ School.

Terdahulu, majlis disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datuk Yeoh Soo Keng.

Menurut Nurazlina, berteraskan prinsip ‘Selalu Sedia’ persatuan itu sentiasa bersemangat dan bersedia untuk memberi khidmat masyarakat kepada komuniti setempat.

“Pandu Puteri dan khidmat masyarakat berpisah tiada malah aktiviti kemasyarakatan adalah satu nilai yang telah, sedang dan akan terus disematkan dalam diri anak-anak Pandu Puteri ini.

“Ia bagi memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada negara melalui khidmat masyarakat seterusnya dapat menjadi contoh kepada mereka yang lain,” katanya.

Jelasnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Methodist dipilih sebagai lokasi sambutan adalah kerana sekolah itu merupakan sekolah pertama di negeri ini yang menubuhkan pasukan Pandu Puteri iaitu pada 1925.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post WRUR BERI ILMU DIGITAL PERCUMA UNTUK RAKYAT
Next post LEBIH 3,000 SANTAI MALAM MINGGU DI DATARAN KERIS