Sorting by

×

PENGAKAP KELANA EJEN PROMOSI MELAKA DI FORUM ANTARABANGSA

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 12 Julai – Seramai enam orang Pengakap Kelana Melaka telah terpilih mengikuti International Scouth Youth Leadership Forum 2025 yang diadakan di Kuala Nerus, Terengganu, baru-baru ini.

Program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dan Persekutuan Pengakap Malaysia itu telah disertai seramai 150 peserta dari seluruh Malaysia, selain peserta antarabangsa dari Brunei, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka dan Timor-Leste.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka Muhammad Zulhusnie Khalib berkata, Pengakap Kelana Negeri Melaka yang terpilih dalam program kali ini telah didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan antaranya Keusahawanan Belia, Kesihatan Mental Belia, Emosi dan Psikologi, STEM dan Astronomi, Persekitaran Global, Kepimpinan Belia Malaysia dan Kesukarelawan Profesional.

Pada masa sama, ujarnya, menerusi program itu juga, ia menjadi medan dalam mempromosikan Negeri Melaka kepada peserta dalam dan luar negara terlibat.

“Program ini merupakan suatu pendedahan yang cukup baik buat anak-anak muda dalam negara kita, di mana mereka boleh saling bertukar-tukar idea dengan peserta pelbagai negara selain menjadi ejen dalam mempromosikan Negeri Melaka kepada belia-belia di luar negara,” katanya.

Pengakap Kelana Negeri Melaka yang terpilih menyertai program berkenaan adalah para Mahasiswa Melaka daripada pelbagai latar belakang institusi Pendidikan termasuklah Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Politeknik Merlimau Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Poli-Tech Mara.

Salah seorang peserta Nor Fazrin Irayu yang juga mahasiswa UNIMEL berkata, menerusi forum berkenaan, dia berpeluang berkongsi sejarah dan sektor pelancongan Negeri Melaka kepada peserta-perserta terlibat.

“Bagi saya, program ini sangat bagus dan saya sangat berbangga kerana terpilih menjadi salah seorang peserta. Saya juga berpeluang untuk berkongsi pengalaman mengenai Negeri Melaka dan saya mengajak mereka singgah dan bercuti ke Melaka,” katanya.

Sementara itu, Cha Kai Quan penuntut UTHM pula memaklumkan, lagu ikonik Negeri Melaka iaitu ‘Senandung Anak Melaka’ antara yang dibawa dan berjaya mencuri perhatian semua peserta pada forum berkenaan.

“Kami memilih untuk membuat persembahan Senandung Anak Melaka disebabkan oleh rata-rata dalam kalangan peserta di Malaysia mereka sudah tahu lagu ini, jadi, kami dapat menyanyi lagu itu bersama-sama.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada World Youth Foundation (WYF) kerana telah memberi ruang dan peluang untuk kami menyertai forum kali ini kerana ia merupakan satu pengalaman manis dan memberi ruang kepada kami anak Melaka untuk mempromosikan Negeri Melaka ini ke peringkat Antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, forum berkenaan telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim dan turut hadir Ketua Pengakap Malaysia Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post LIMA PASANGAN MUALAF MELAKA SELAMAT DIIJABKABULKAN
Next post 1,000 GAMATKAN MELAKA CITY FUN RUN & RIDE 3.0