Pengemis bazar Ramadan jana RM500 sehari

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 Mac – Menjadikan tapak bazar Ramadan sekitar negeri ini sebagai lokasi mengemis, sindiket melibatkan warga asing itu akhirnya tumpas.

Ia susulan operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula kelmarin.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, hasil Op Pengemis itu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan tiga warga asing berusia lingkungan 33 hingga 46 tahun yang disyaki menjalankan aktivitu sindiket berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu didalangi lelaki tempatan tersebut yang bertanggungjawab membawa tiga warga asing yang ditahan itu ke Negeri Melaka dengan menggunakan kenderaannya bagi tujuan mengemis.

“Lelaki tersebut juga turut bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal mereka sebuah Hotel di Jalan Tun Perak, Melaka.

“Sindiket ini turut didapati mampu memperolehi hasil kutipan harian antara RM400 hingga RM500 sehari dengan menyasarkan tapak-tapak bazar Ramadan di sekitar Negeri Melaka sebagai lokasi utama.

“Malah, kesemua mereka dipercayai mendakwa aktiviti itu dijalankan kononnya bagi tujuan pembinaan sebuah Sekolah Agama di Selatan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil operasi itu, pihaknya telah merampas dokumen-dokumen yang digunakan bagi tujuan memperdaya orang ramai, selain wang tunai berjumlah RM736.

Menurutnya lagi, kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mengemis boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPK Melaka ditalian 06-2851999,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1580
Kongsi :
Previous post Empat kanak-kanak maut dalam kebakaran rumah di Muar
Next post PDRM nafi Ayob Khan miliki akaun TikTok
Ubah saiz-+=