Peniaga harap Ramadan bawa limpahan rezeki
AYER KEROH 22 Mac – Rata-rata peniaga makanan yang baharu pertama kali memulakan perniagaan di bazar Ramadan, Aidilfitri tahun ini berharap dapat mencari rezeki lebih untuk menampung keperluan harian.
Peniaga makanan, Haryani Hamidun, 44, berkata, dia mengambil pendekatan menyediakan menu siap dibungkus di dalam bekas bermula dengan harga serendah RM6.
“Untuk mencari rezeki lebih di bulan Ramadan, saya akan mula esok (Khamis) berniaga di tapak parkir Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, sebanyak 10 jenis lauk yang akan dijual sepanjang Ramadan ini.
“Akan ada kelainan sedikit berniaga di bazar berbanding tepi jalan yang mana saya akan menyediakan makanan dalam set ‘lunch box’ sebagai penarik dan memudahkan pelanggan.
“Saya tidak pernah niaga di bazar, harap dapat sambutan daripada pengunjung, pada masa sama dapat juga menambah pendapatan keluarga saya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di tapak parkir PKNM di sini, hari ini.
Seorang lagi, peniaga air, Muhammad Munir Sharabuddin 40, turut berharap jualan air di gerainya mendapat sambutan walaupun pertama kali berniaga di bulan Ramadan.
“Kalau berniaga air tepi jalan sejak bulan September 2022 lagi, esok hari pertama puasa (Khamis) saya memang niaga bermula jam 4.30 petang hingga waktu berbuka.
“Ini pertama kali niaga dalam bulan puasa, jadi saya tidak nampak perjalanan dia lagi, biarpun percubaan diharap jualan saya mendapat sambutan,” katanya.
Manakala Muhd Nor Afiq Fakhrullah Rosli,23, akan menyediakan juadah lebih menarik seperti nasi daging bakar di bazar Ramadan Gangsa.
“Saya cuba berniaga di tepi jalan dengan menjual nasi kukus ayam goreng berempah, alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan, tapi untuk bulan Ramadan saya akan cuba tampilkan menu lain pula.
“Antaranya nasi daging bakar dengan air asam, kalau nasi kukus sudah biasa sangat mungkin orang sudah bosan, harap Ramadan kali ini dapat mencari rezeki yang lebih sebab saya juga pertama kali berniaga di bazar ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.