Penjawat awam Melaka daftar PADU sebelum 15 Februari

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 7 Februari – Semua penjawat awam di Negeri Melaka diminta untuk mengemas kini dan mendaftar maklumat diri di Pengkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya 15 Februari ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia bagi memastikan Kerajaan Negeri mencapai sasaran seramai 670,000 rakyat Melaka berdaftar dalam sistem itu.

Fairul Nizam berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) Melaka, setakat Isnin lalu (5 Februari) cuma seramai 76,662 rakyat Melaka telah melengkapkan pendaftaran PADU.

“Jumlah ini masih jauh untuk mencapai sasaran, jadi saya harap semua rakyat Negeri Melaka mengambil inisiatif daftar PADU untuk diri sendiri dan keluarga mereka.

“Bagi penjawat awam pula mereka diberikan tempoh sampai 15 Februari untuk daftar PADU, ini juga adalah arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan) berkata, rakyat Melaka yang tidak tahu cara untuk melengkapkan pendaftaran PADU boleh segera ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di daerah masing-masing.

“Datang sahaja ke PDT daerah mereka untuk minta bantuan daftar PADU, selain itu Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) turut menyediakan khidmat ini.

“Pihak Japerun juga kita galakkan untuk turut sama membantu masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2245
Kongsi :
Previous post Polis buru empat lelaki rompak kedai emas
Next post Mayat lelaki ditemukan terapung di Taman Tasik Shah Alam
Ubah saiz-+=