Penoreh, peraih getah ‘merintih’

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER LIMAU 10 Mac. – Musim panas sejak dua bulan lalu menyebabkan penoreh dan pekebun kecil merintih berikutan poket yang semakin kering.

Musim daun pokok getah yang luruh sekarang menyebabkan pengeluaran susu berkurangan, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa melalui detik sukar berikutan kemerosotan hasil pendapatan.

Bagaimanapun, penoreh terpaksa terus menoreh batang pokok yang semakin kurang mengeluarkan hasil manakala peraih terpaksa mengehadkan lori yang masuk ke dalam kebun getah untuk mengutip getah beku.

R Arumugam, 45, berkata beliau tidak ada pilihan, selain terpaksa meneruskan kerja menoreh di kebun seluas 0.8 hektar milik penduduk Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini.

ARUMUGAM menoreh getah di kebun milik penduduk Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, Masjid Tanah.

“Setiap tiga hari, saya kutip getah beku dan kalau sebelum ini saya boleh dapat antara 80 hingga 90 kilogram (kg), sekarang cuma ada antara 40 hingga 50 kg.

“Harga getah beku sejak tiga bulan lalu tidak banyak berubah antara RM2.70 hingga RM3 sekilogram dan selepas dibahagikan hasil jualan dengan tuan punya kebun, saya hanya dapat RM40 hingga RM75,” katanya ketika ditemui di kebun getah itu hari ini.

Beliau berkata, hasil jualan tidak setimpal dengan tenaga dan masa yang dihabiskan tetapi hanya itu yang mampu dilakukan untuk menyara isteri serta dua anak berusia sembilan dan 19 tahun.

Sementara itu, peraih getah di Kampung Ramuan Cina Kecil, di sini, Rustam Ma’ali, 35, berkata sejak Januari lalu, belian getah beku merosot kepada hanya satu tan berbanding dua tan sebelum itu.

“Musim panas sekarang tidak ramai penoreh yang mahu buat kerja kerana hasil tidak berbaloi dengan tenaga dan kebanyakannya terpaksa mencari kerja lain seperti menjadi buruh kontrak dan menangkap ikan.

“Sebelum ini saya gunakan satu lori dua tan dan satu kenderaan pacuan empat roda untuk mengutip hasil tetapi sekarang cukup hanya lori saja,” katanya.

Beliau berkata, yang diimpikan penoreh dan pekebun ialah harga getah naik ke paras selesa antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram seperti yang pernah dinikmati pada hujung 2016.

Rustam berkata, sejak 2013 harga getah beku berada di bawah paras RM2 tetapi ia mula meningkat kepada RM2.50 mulai September 2016.

Harga terus meningkat melepasi RM4 pada Disember 2016 dan mencapai RM4.70 pada awal Januari 2017 tetapi ia hanya bertahan selama dua minggu sebelum kembali menurun hingga sekarang.

Harga yang berlegar melebihi paras RM4 menceriakan penoreh getah yang sebelum itu terpaksa menanggung kesempitan hidup akibat kejatuhan harga mulai awal 2012 hingga Oktober 2016, katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan mencari kaedah sesuai membantu meningkatkan harga getah yang tidak pernah naik sejak Januari 2017.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1900
Kongsi :
Previous post Malaysia dapat tambahan 10,000 kuota haji- Muhyiddin
Next post Perbelanjaan awam bagi rawatan penyakit buah pinggang makin meningkat
Ubah saiz-+=