Penoreh pilih getah beku berbanding lateks

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat
BUKHARI menunjukkan getah beku di kebunnya di Kampung Solok Limau Nipis, Masjid Tanah. Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 21 Julai – Getah beku atau sekerap menjadi pilihan penoreh di sini berbanding getah cair atau lateks kerana proses penghasilan yang sekerap lebih mudah.

Untuk menghasilkan getah beku, penoreh hanya perlu menoreh dan meninggalkannya ia membeku dalam mangkuk sebelum mengutip hasil selepas tiga hari.

Bagaimanapun, jika mereka memilih untuk menghasilkan lateks, mereka terpaksa menunggu susu getah berhenti menitik antara empat hingga lima jam sebelum mampu membawa hasil keluar dari kebun.

Bukhari Yunus, 55, berkata sejak menoreh pada usia 20 tahun, beliau tidak pernah menghasilkan lateks kerana ia membabitkan kerja yang disifatkan rumit berbanding menghasilkan getah beku.

“Sejak saya ambil alih tugas daripada arwah bapa, saya tidak pernah membuat lateks tetapi semasa arwah bapa saya masih ada, saya pernah tolong arwah buat getah keping dengan menggunakan mesin penggelek.

“Waktu itu harga getah tinggi tetapi sekarang harga getah sekerap cuma RM1.75 sekilogram dan kalau saya buat getah cair, saya percaya harganya tidak terlalu tinggi hingga dua atau tiga kali ganda,” katanya ketika ditemui di kebun getahnya di Kampung Solok Limau Nipis, di sini semalam.

Beliau berkata, sekarang beliau memperoleh antara RM100 hingga RM150 seminggu hasil daripada torehan di kebun seluas kira-kira 0.6 hektar pada harga purata getah beku antara RM1.70 hingga RM1.80 sekilogram.

“Jika saya buat getah cair, saya kena kerja dari subuh hingga petang untuk menoreh, menunggu susu getah berhenti menitik, mengutip dan membawanya keluar dari kebun sedangkan kalau saya buat getah beku, saya hanya perlu menoreh dan meninggalkannya sebelum mengutip hasil selepas tiga hari.

“Dengan hanya perlu bekerja dari jam 7 pagi hingga 9 pagi untuk membuat sekerap, saya sudah selesai menoreh dan boleh menggunakan waktu yang masih banyak terluang untuk mengambil upah bertukang,” katanya.

Rabu lalu Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri, Amirul Rasyidin Hasan Basri dilaporkan menggesa 9,723 pekebun kecil getah di Melaka berpindah kepada penghasilan lateks kerana ia mampu melonjakkan pendapatan sebanyak 30 peratus.

Katanya, RISDA bersedia membawa Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) membeli lateks daripada pekebun kecil, asalkan mereka bersedia melakukan anjakan dalam pengeluaran hasil komoditi itu.

Penoreh, T Ganasenaran, 63, berkata beliau memilih untuk menghasilkan getah beku berbanding getah cair kerana ia lebih mudah sesuai dengan tenaga dan usianya yang sudah lanjut.

Roslan Bantul, 46, berkata beliau tidak akan membuat lateks kerana ia memerlukan tempoh bekerja yang lama sedangkan beliau perlu turun ke sungai untuk menambah pendapatan.

“Selepas menoreh dan meninggalkan getah membeku, saya turun ke sungai untuk menjaring dan menjala kerana untuk menanggung isteri dan empat anak, saya perlu melakukan lebih daripada satu kerja,” katanya.

Views:

1520
Kongsi :
Previous post TYT dan isteri hadir majlis makan malam sempena Sidang DUN
Next post KM pertimbang pembinaan hotel patuh syariah
Ubah saiz-+=