Perkampungan Hang Tuah bakal jadi Hollywood Melaka

Masa Membaca:9 Minit, 35 Saat
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudaaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis

BANDA HILIR 20 Julai – Penularan pandemik Covid-19 yang melanda global termasuk Malaysia telah menjejaskan ekonomi dunia dan menyaksikan Melaka tidak terkecuali menerima tempias bahana pandemik tersebut.

Umum mengetahui sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi di negeri ini, justeru kerajaan negeri berusaha merangka beberapa strategi supaya sektor itu dapat dipulihkan dengan segera.

Ikuti wawancara khas Melaka Hari Ini (MHI) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai sektor pelancongan di negeri ini.

BANDARAYA Melaka

MHI : Apakah perancangan kerajaan negeri dalam memperkasakan kembali sektor pelancongan Melaka selepas mengharungi pandemik Covid-19?

JAILANI : Kita banyak perancangan, tetapi sebelum kita membuat perancangan, kita mesti letakkan satu sasaran. Sasaran Tahun Melawat Melaka 2019 ialah 20 juta pelancong, walaupun kita tak dapat capai sasaran itu, tetapi kita hampir pada sasaran iaitu pada 2019, 18.7 juta pelancong iaitu kenaikan hampir 1.7 juta berbanding dengan 17.02 juta pelancong tahun 2018.

Jadi oleh kerana ada impak pandemik Covid-19 ini, kita meletakkan sasaran pelancong domestik itu pada sekitar 5.6 juta dan untuk pengetahuan umum, setakat Februari tahun ini pun kita dah capai 2.6 juta pelancong.

Dan banyak juga agensi-agensi pelancongan yang dipunyai kerajaan telah mula pulih antaranya, Taming Sari bulan Jun lagi kita telah recover dan kita tiada kerugian lagi.

Alhamdulillah kita dapat keuntungan sebanyak RM30,000, walaupun itu bukan satu kebiasaan tapi satu petanda baik setelah post Covid-19.

Jadi antara perancangan yang kita buat sekarang ini kita ada beberapa strategi yang akan kita nyatakan, antara lain ialah pembersihan, sebab pelancongan Negeri Melaka ini berdasarkan tiga elemen iaitu ‘confidence, affordability dan happiness’.

Keyakinan pelancong sama ada domestik mahupun tak lama lagi antarabangsa di mana kita mementingkan ‘sanitization dan disinfection’, maksudnya pembersihan dan nyahkuman di semua prasarana pelancongan yang kita buat dan laksanakan.

Yang kedua elemen ‘affordability’, jadi memang kita ambil semua langkah-langkah yang perlu untuk memastikan servis-servis dan produk-produk pelancongan dalam negeri melaka ini pada kadar dan harga yang mampu dibayar oleh para pengunjung.

Yang ini kita memang maintain supaya market pelancongan kita sentiasa kompetitif berbanding dengan negeri-negeri lain mahupun negara tetangga.

Yang ketiga ‘happiness’, kita nak pastikan para pelancong kita ini datang ke Melaka dan akan datang dan datang dan datang lagi, kerana bila mereka berada di Melaka mereka merasa sangat senang, mereka merasa bahagia dan ceria.

Kerana itu tagline kita ‘serve with a smile’, memberi perkhidmatan dengan senyuman walaupun macamana masalah kita hadapi.

Kita akan layan para pelancong dengan senyuman dengan budi bahasa dengan pakaian yang bersih dengan persembahan yang merendah diri, tawaduk dan kalau boleh menggembirakan sesiapa sahaja yang datang ke Negeri Melaka.

Jadi tiga elemen ini untuk memperkasakan industri pelancongan Negeri Melaka.

SEKTOR pelancongan makin pulih.

MHI : Bagaimana situasi sektor perhotelan di negeri ini, dan mungkin apakah peluang buat pelabur dalam sektor tersebut untuk terus kekal di negeri ini?

JAILANI : Alhamdulillah situasi pelancongan Melaka pada hari ini, kalau dulu masa Covid-19, 10 minit saya dah sampai Bandar Melaka, tapi ini hari dah mula balik dalam 50 minit ke satu jam, bermaksud trafik itu sendiri menuju ke pusat tumpuan utama contohnya di bangunan merah ini dah mula trafiknya agak berat.

Mungkin tak seberat sebelum Covid-19 tapi dah mula ke arah itu, dan kita tengok kepada statistik kedatangan pelancong pada hotel-hotel Negeri Melaka.

Contohnya pada 10 hari selepas hari pertama hotel dibuka, kita ada 4,932 tempahan hotel daripada 18,000 bilik hotel yang tersedia di Negeri Melaka sehingga 31 disember 2020.

23 jun statistik yang kami terima lebih kurang 11,400 booking sehingga 31 Disember 2020. Ini bermaksud dalam kurang daripada sebulan kita dah 25 peratus ke 30 peratus ‘recovery’, ini satu petanda yang baik, insyaAllah saya yakin.

Sekarang ini kita nak tarik para pelabur dua tiga perkara, pertama sekali kita kena wujudkan produk-produk baharu contohnya PERZIM baru-baru ini kita telah rencanakan untuk membuat yang mirip seperti Jalan Jonker, iaitu Sultan Alaudin Riayat Shah bazar, Sultan Mansor Shah bazar dan Laksamana Haji Cheng Ho punya bazar.

Tiga bazar ini kita akan buat untuk menarik lagi para peniaga kecil terutamanya sebagai produk pelancongan baharu di kawasan-kawasan yang strategik dan laluan utama para pelancong.

Para pelabur pula datang ke Melaka jangan risau, kerana di bawah kepimpinan YAB Datuk Sulaiman, kita mesra pelabur kita akan mudah carakan, kita akan menyenangkan para pelabur untuk melabur dan banyak benda yang boleh kita labur.

Antaranya kawasan penyu karah kita, kita ada sebanyak 780 landing penyu setahun, penyu karah iaitu terbesar di Malaysia dan jabatan perikanan Melaka telah mendapat kejayaan di mana mereka telah mengeramkan 75,000 telur dan 56,000 telah dilepaskan ke laut.

Penyu karah tu penyu macam batik yang sangat cantik dan banyak lagi kawasan-kawasan yang kita boleh bangunkan sebagai sub pelancongan yang baru.

Contohnya seperti Fort Supai dan juga Pulau Melaka yang agak terbiar dan untuk tahun ini saya yakin insyaAllah kami sedang muktahirkan kerana mahu mendapat kebenaran merancang.

Dan saya jangkakan YAB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah kita akan lancarkan Green City di AKCC dan pusat sains dan ‘galaxy world’ di Planetarium Melaka yang mempunyai komposisi ‘one stop centre‘ untuk pelancongan.

InsyaAllah kerajaan akan mewujudkan tidak kurang daripada 3,000 peluang pekerjaan untuk industri pelancongan dan juga saya yakin tidak kurang daripada 500 hingga 1,000 peluang perniagaan untuk para-para pengusaha dalam Negeri Melaka.

PUSAT pelancongan perlu ikut SOP Covid-19.

MHI : Memandangkan pelancongan domestik meliputi penginapan di hotel, lawatan ke muzium,zoo dan pusat-pusat pelancongan dibenarkan di negeri ini, apa langkah kerajaan negeri memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara?

JAILANI : SOP kita memang agak ketat, mana-mana tempat yang tidak membuat SOP kita memang agak ketat, mana-mana tempat yang tidak membuat ‘sanitization dan disinfection’ dia tidak ada ‘certificate’, sijil itu kami tak bagi.

Pada masa yang sama mana-mana yang dah buat ‘sanitization and disinfection’ mereka juga digalakkan, malah kalau produk itu produk kerajaan kita wajibkan berdaftar dengan Melaka eXcess, Melaka eXcess ini satu platform kerajaan melalui online boleh dimuat turun di playstore atau di google store.

PERKAMPUNGAN Hang Tuah.

MHI : Dari segi produk pelancongan, pihak PERZIM pernah bercadang untuk menjadikan Perkampungan Hang Tuah di Duyong sebagai Perkampungan Budaya, mungkin Datuk boleh kongsikan sama ada ianya boleh direalisasikan?

JAILANI : Satu kertas kerja sedang dimuktamadkan, ada dua kerta kerja tetapi yang terkini akan dimuktamadkan, saya yakin menjelang 19 Julai dan akan dibentangkan kepada YAB Ketua Menteri di mana Perkampungan Hang Tuah itu akan dinaiktaraf menjadi Perkampungan Hang Tuah dan Perfileman Tradisi Melayu Melaka.

Akan ada versi ‘Hollywood‘ untuk Negeri Melaka, kertas kerjanya belum siap lagi, perancangan dimuktamadkan pada 19hb dan mungkin akan ada kerjasama daripada FINAS dan juga kerjasama ‘cooperate sponsorship’ bagi tujuan perfileman, iaitu perfileman filem-filem warisan dan kebudayaan dan sejarah, kita nak jadikan versi ‘Hollywood’ untuk Negeri Melaka.

Kita pernah mendapat penglibatan yang agak intensif daripada Upin Ipin, tahun lepas saja Upin Ipin membuat promosi dan jualan ekspo Upin Ipin selama lebih sebulan di MITC.

Dan Upin Ipin sering turun ke Melaka ini dan keutamaan kita beri kerana Upin Ipin ini adalah simbol animasi untuk Malaysia.

Saya rasa kalau dari segi pembangunan animasi ini, kita kena tanya exco multimedia, tapi pastinya kalau sektor animasi berdigital ini dikembangkan sudah pastinya ia melibatkan pelancongan.

Ia akan jadi nilai tambah yang saya rasa belum dibuat lagi di Malaysia, mungkin Melaka insyaAllah akan mulakan.

MHI : Umum mengetahui warisan sejarah budaya di Melaka agak terkenal di kalangan para pelancong dari dalam dan luar negara. Dari sudut kerajaan negeri sendiri, adakah akan ada usaha untuk memperkasakan warisan budaya negeri ini agar setanding dengan destinasi warisan dunia yang lain?

JAILANI : Dari segi budaya dan warisan penari-penari kami bertaraf dunia dan pernah menang di China sebagai persembahan terbaik dunia dan kita mempunyai warisan dan budaya agak unik berbanding dengan negeri-negeri lain di Rantau Asia.

Di mana ia adalah kombinasi harmoni di antara kaum, contohnya kombinasi seperti Baba Nyonya, Chetti, orang serani, orang laut yang tiada di negeri-negeri lain.

Dan kalau kita nak kembangkan budaya ini, kita perlu sedikit bantuan, saya mohon kepada Jabatan Kebudayaan Dan Warisan Negara di bawah MOTAC kalau dapat bantu kami di sini, insyaAllah mungkin lebih baik lagi dan kita boleh kembangkan lagi.

SELAIN Dondang Sayang, seni warisan Nazam turut diberikan perhatian

MHI : Sebut sahaja nama Melaka pasti akan terlintas seni budaya seperti Dondang Sayang, jadi mungkin kerajaan negeri bercadang untuk menonjolkan seni kebudayan yang lain seperti Nazam misalnya?

JAILANI : Dongdang sayang dah mendapat pengiktirafan di Mauritius 2019 sebagai warisan budaya hidup kemanusiaan, jadi kita mendapat pengiktirafan UNESCO sebenarnya dua kali, 2009 sebagai bandaraya warisan dunia, 2019 salah satu budaya kita diiktiraf dunia sebagai warisan kemanusiaan sejagat dondang sayang.

Kita dah buat banyak, pertandingan nazam kita dah buat tahun lepas pertandingan cari bakat, kita buat uji bakat tahun lepas yang dianjurkan oleh Institut Warisan Melaka – INSWA berlangsung di panggung budaya di Perkampungan Hang Tuah dan kita telah mengetengahkan bakat-bakat baharu yang boleh menyanyi lagu dondang sayang.

Malah lagu dondang sayang sekarang ada dua versi,  lama dengan  baharu, jadi versi baharu itu untuk menarik minat muda mudi, tetapi versi lama kita tak boleh tinggalkan kerana itu dah diiktiraf oleh UNESCO.

Versi baharu lebih rancak, lagu dondang sayang yang dimodenkan sedikit agar rancak dan dapat menarik minat muda mudi.

Penglibatan generasi muda dalam dondang sayang, pasukan persembahan kita semua orang muda, kalau ada senior itu satu dua ikon yang kita kekalkan pasal tiada tandingannya.

Kita ada sedia platform melalui INSWA atau institut seni dan warisan Melaka, INSWA sentiasa pergi ke sekolah-sekolah membuat pendidikan seni untuk para pelapis tampil ke hadapan dan antara sekolah yang agak hebat sekolah kebangsaan Merlimau atau Alai, lepas itu Krubong ada satu.

Kalau tengok persembahan budaya para pelajar mereka anda pasti akan terpegun, ada yang sudah berada di persada nasional.

MHI : Soalan terakhir datuk, boleh datuk kongsikan apakah visi Datuk dalam menjadikan Melaka terus gah dalam sektor pelancongan antarabangsa?

JAILANI : Melaka kalau kita nak teruskan, pada saya kita kena faham situasi dulu, tidak ada formula atau kaedah yang sempurna, tetapi kaedah atau ‘formula’ atau solusi atau penyelesaian yang paling tidak sempurna apabila kita ada perancangan tetapi kita tidak laksanakan.

Kalau tak boleh membina jangan pula menghancurkan, kalau kita nak buat sesuatu banyak sangat fitnah, banyak sangat spekulasi yang bukan-bukan padahal mereka ini yang memfitnah spekulasi yang banyak mengata daripada bekerja.

Ini ialah orang-orang yang tidak menyumbang langsung kepada pembangunan industri pelancongan melaka.

Saya minta maaf berkata macam itu kerana sekarang bila kerajaan memberi kebebasan bersuara gunakan kebebasan itu untuk memberikan pandangan-pandangan yang menambahbaik bukan merosakkan.

Jadi kalau kita nak maju ke hadapan sikap orang Melaka, sikap rakyat, sikap pemerintah, sikap wakil rakyat sikap semua harus bertukar kepada proaktif dan istiqamah dalam melakukan kebaikan. InsyaAllah saya yakin semua halangan boleh diatasi.

Perancangan saya yang terdekat ialah nak pulih daripada kemusnahan akibat Covid-19, insyaAllah menjelang Disember kita mungkin boleh pulih paling tidak 80 peratus.

Dan insyaAllah 2021 langkah selanjutnya ialah untuk mewujudkan lagi prasarana-prasarana dan produk-produk baharu yang lebih berskala besar untuk menarik lagi para pelancong datang ke Melaka, insyaAllah.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Pantai peranginan tak sepi walaupun ada obor-obor
Next post Mohd Ali rasmi sidang DUN Melaka buat kali pertama
Ubah saiz-+=