Perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA ditamatkan 12 Dis

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA, 13 Dis – Kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), berkuat kuasa 12 Dis, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata penamatan itu selaras dengan Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut Subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

“Keputusan ini diambil, setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata beliau bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq, atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai,” katanya.

Mohd Shafiq, 58, dilantik sebagai KPPA berkuat kuasa 10 Feb, bagi menggantikan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan lepas.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam satu insiden pada 3 Ogos lepas.

Rententan itu, Mohd Zuki pada 7 Ogos lepas mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusi Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, bagi menyiasat dakwaan insiden melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan dan pegawai Imigresen di KLIA itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2596
Kongsi :
Previous post PM Anwar arah jabatan kerajaan bangunkan wahana untuk laksana subsidi bersasar
Next post Warga Singapura terlepas tali gantung, dipenjara 16 tahun kerana miliki dadah
Ubah saiz-+=