Sorting by

×

PERLU ADA RASA TANGGUNGJAWAB BANTU ORANG KAMPUNG BERJAYA

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

LENDU 22 Disember – Semua anak-anak kampung yang telah berjaya dalam pelbagai bidang perlu mempunyai satu tanggungjawab dan jiwa untuk membantu kejayaan lebih ramai masyarakat di desa kelahiran mereka.

Itu pendirian dan pandangan dizahirkan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Sr. Azmar Talib, seorang figura yang tidak asing dalam bidang hartanah, pembinaan, perbankan dan pemulihan korporat.

Menurut anak jati Kampung Durian Daun, Masjid Tanah itu, setiap insan berjaya wajar memiliki satu semangat untuk membangunkan diri dan negara ke satu tahap lebih baik, namun semua itu tidak boleh dilakukan sendirian.

Oleh sebab itu, beliau menyeru lebih ramai tokoh yang telah berjaya untuk menabur bakti di kampung halaman masing-masing agar tempat kelahiran mereka tidak jauh ketinggalan berbanding masyarakat di bandar.

“Seperti saya bersama syarikat saya iaitu TRX City, kami mengambil rasa tanggungjawab untuk menyumbang kepada pelajar-pelajar Tingkatan 5 dalam Parlimen Masjid Tanah khusus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Bidang ini perlu diberi tumpuan dan perhatian kerana dunia pada masa kini jalan dengan begitu cepat, terutama menerusi bidang kecerdasan buatan (AI).

“Alhamdulillah sejak menyumbang dalam bidang ini, saya melihat pencapaian anaj-anak Masjid Tanah dalam STEM semakin membanggakan dan diharap kesemua mereka akan mendapat masa depan lebih baik di alam pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, semalam.

Whatsapp image 2025 12 22 at 10.54.34
KETUA Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Sr. Azmar Talib. Foto Afiq Mustaffa

Pada karnival itu, Azmar telah dianugerahkan Tokoh Akademik dan Profesional di atas kejayaan dan pengalaman beliau selama lebih 44 tahun memegang pelbagai jawatan dalam kepimpinan utama.

Sejak 2011, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd dan telah menerajui pembangunan Bursa TRX sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia serta Projek Strategik Bandar Malaysia.

Anugerah tersebut telah disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada Azmar pada majlis perasmian penutup karnival berkenaan.

Dalam pada itu, Azmar bersyukur dan merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri di atas pengiktirafan berkenaan yang disifatkan mampu memberi inspirasi dan suntikan motivasi untuk membantu lebih ramai anak Masjid Tanah berjaya pada masa akan datang.

“Apa yang saya buat selama ini hanyalah kerana tujuan kita bekerja bukan sekadar untuk mencari rezeki masing-masing, tetapi juga untuk mengimarahkan masyarakat kita dan seterusnya membangunkan negara ke satu tahap lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post MELAKA DESTINASI PELANCONGAN KELUARGA LESTARI 2026
Next post RM1 JUTA LONJAK PEMBANGUNAN KAMPUNG KILANG BERAPI UTARA