Permintaan itik daging meningkat sejak Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER LIMAU 25 Ogos – Peningkatan permintaan itik daging yang dipelihara seorang pesara kerajaan sejak Aidilfitri lalu membolehkan beliau menikmati hasil pulangan lebih baik berbanding sebelum ini.

Ramli Abu Bakar, 55, yang menceburi penternakan haiwan berkenaan sejak lima tahun lalu, sudah mampu mengukir senyuman berikutan peningkatan permintaan sejak Aidilfitri lalu.

Jika sebelum ini beliau hanya mampu memasarkan tiga ekor itik seberat antara tujuh hingga lapan kilogram (kg) seminggu, sekarang permintaan meningkat kepada antara enam hingga tujuh ekor seminggu.

Beliau berkata, ketika mula menternak itik daging lima tahun lalu, permintaan terhadap haiwan ternakan itu hanya boleh diperoleh menjelang Aidilfitri dan Aidiladha serta musim cuti sekolah.

“Bagaimanapun, sejak Aidilfitri Mei lalu, permintaan meningkat dan selepas Aidilfitri, ada pertambahan permintaan kerana ada dua peniaga warung makan meminta itik, masing-masing tiga ekor pada setiap Jumaat dan empat ekor pada setiap Isnin.

“Alhamdulillah, semakin ramai peniaga warung makan menyediakan kari itik untuk disajikan kepada pelanggan yang juga semakin menggemari itik berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina di sini hari ini.

Dengan menawarkan harga itik RM14 sekilogram, bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu memperoleh pulangan antara RM200 hingga RM250 seminggu sekarang berbanding hanya antara RM100 hingga RM110 seminggu sebelum ini.

Katanya, peniaga warung makan pada mulanya agak keberatan untuk menyediakan kari itik tetapi selepas mencubanya kali pertama, sambutan diterima amat menggalakkan, sekali gus mendorong mereka meminta mengekalkan permintaan terhadap itik peliharaannya.

Beliau berkata, sebelum ini beliau menternak anak itik hingga berusia lebih tiga bulan sebelum dipasarkan tetapi beliau terpaksa mengubah strategi penternakan dengan hanya menjadikan dua bulan setengah sebagai tempoh maksimum penternakan berikutan kos bahan makanan yang semakin meningkat.

“Sebelum ini saya bela itik lebih tiga bulan sebelum menjualnya tetapi sekarang hanya dua bulan setengah dan kaedah ini menjimatkan kos, selain dapat memastikan berat itik purata antara dua hingga 2.5 kg.

“Berat sedemikian digemari peniaga warung makan kerana jika melebihi tiga kg, mereka keberatan membelinya kerana harga terlalu tinggi,” katanya.

Ramli yang juga imam di kampung berkenaan berkata, beliau juga terpaksa mengubah strategi penternakan daripada melepaskan itik bebas di sekitar kolam berhampiran kediamannya kepada penternakan dalam reban.

Ini kerana kolam yang menerima air dari sungai berhampiran, kadang kala tercemar dengan kotoran yang menyebabkan itik mati akibat terkena jangkitan kuman.

Sehubungan itu, beliau memastikan hanya air bersih dari paip yang diberikan kepada haiwan berkenaan bagi mengelak ia diserang penyakit yang menyebabkan beliau mengalami kerugian.

Views:

2179
Kongsi :
Previous post Kira-kira 80 bekas mengandungi bahan kimia berbahaya dijumpai di Pelabuhan Beirut
Next post Lubang muat tubuh budak ancam penduduk Kampung Pantai
Ubah saiz-+=