Permohonan pembaharuan pasport rakyat Malaysia di Australia bermula 22 Mac

Masa Membaca:54 Saat

PUTRAJAYA, 17 Mac – Warganegara Malaysia boleh membuat permohonan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) secara dalam talian bermula 22 Mac ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mengambil maklum kesukaran rakyat Malaysia di Australia memperbaharui PMA akibat pandemik COVID-19 dan perintah sekatan oleh pihak berkuasa negara berkenaan, beliau berkata permohonan pembaharuan itu boleh dibuat melalui Sistem Pasport Online menerusi pautan https://imigresenonline.imi.gov.my/eservices/myPasport.

Khairul Dzaimee dalam satu kenyataan hari ini berkata satu pasukan khas pegawai Jabatan Imigresen dari Putrajaya juga akan dihantar segera supaya bilangan pasport yang diproses di Melbourne, Australia dapat ditingkatkan dan waktu operasi dipanjangkan melalui sistem syif.

Beliau berkata waktu operasi pejabat Jabatan Imigresen di Melbourne akan dilanjutkan tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata perlanjutan tempoh masa secara automatik selama dua tahun akan diberikan bagi kes-kes kritikal seperti pelajar dan pekerja supaya mereka boleh memperbaharui visa di Australia.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak menunggu pada saat-saat akhir untuk memperbaharui pasport mereka,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post RM73,000 lesap gara-gara dedah kod TAC
Next post Usaha tingkat kualiti jalur lebar sedang dijalankan menerusi JENDELA – Annuar Musa
Ubah saiz-+=