Sorting by

×

PERPUSTAKAAN DESA BERTAM HULU BERWAJAH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SUNGAI UDANG 20 Mei – Perpustakaan Desa Bertam Hulu kini berwajah baharu apabila siap dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Kerajaan Negeri pada tahun lalu.

Pengarah Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, kerja naik taraf itu sekali gus membantu perpustakaan itu menyediakan kemudahan yang lebih kondusif, mesra pengguna dan inklusif untuk segenap lapisan masyarakat.

Jelas beliau, setakat ini, perpustakaan berkenaan telah menempatkan lebih 17,000 naskhah bahan bacaan fizikal merangkumi pelbagai genre untuk semua peringkat umur.

“Ia termasuklah buku untuk kanak-kanak sehinggalah bahan rujukan untuk dewasa dan umum.

“Selain itu, pengguna turut diberi akses kepada bahan bacaan digital melalui platform e-Book dan sumber dalam talian yang disediakan oleh PERPUSTAM.

“Justeru itu, besarlah harapan kami agar masyarakat di Bertam Hulu dapat memanfaatkan kemudahan yang telah kami sediakan di perpustakaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR): Perpustakaan Dihatiku, Buku Sahabatku di Perpustakaan Desa Bertam Hulu, di sini, hari ini.

6152047667040078125
RAIS dan Mohamed Aizammuddy bergambar di dalam Perpustakaan Desa Bertam Hulu yang siap dinaik taraf. Foto Iqmal Haqim Rosman

Program tersebut telah dirasmikan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Menurut Mohamed Aizammuddy, bersempena WRUR Sungai Udang, PERPUSTAM telah menyusun pelbagai aktiviti menarik melibatkan murid-murid dari dua buah sekolah rendah dan dua tadika KEMAS di kawasan Bertam Hulu.

Jelasnya, antara program yang dilaksanakan adalah Bengkel Literasi Maklumat iaitu memperkenalkan medium bacaan digital dan platform pembelajaran dalam talian; zon interaktif dengan memperkenalkan teknologi Realiti Maya (VR) dan asas robotik.

Selain itu, ujarnya, turut diadakan pertandingan dam gergasi, pertandingan mewarna kanak-kanak, teka berat buku, teka muka surat buku, kuiz kenali perpustakaan serta pameran dan pemeriksaan kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2795
Kongsi :
Previous post MELAKA BANGUNKAN PROJEK LIMBUNGAN KAPAL DIINSPIRASI NAMA PANGLIMA AWANG