Sorting by

×

LEPASAN STAM DIPELAWA LANJUT PENGAJIAN DI UNIMEL

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LINGGI 21 Mei – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) mempelawa lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik penuh Kerajaan Negeri itu.

Naib Canselor UNIMEL Datuk Prof. Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly berkata, universiti tersebut menawarkan pelbagai bidang berkaitan pengajian Islam dan profesional, khusus untuk lepasan STAM.

Jelas beliau, antara yang ditawarkan adalah 20 program Diploma merangkumi pelbagai bidang pengajian Islam, pengurusan, teknologi, pendidikan dan lain-lain, selain tiga program Asasi sebagai persediaan awal ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang pengajian Islam dan profesional.

“UNIMEL mengalu-alukan penyertaan semua lepasan STAM yang berkelayakan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar kami dalam usaha melahirkan generasi cemerlang yang berteraskan nilai Rabbani dan profesionalisme.

“Kami sentiasa komited untuk menyediakan pendidikan holistik, berkualiti tinggi dan selari dengan keperluan semasa industri dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, permohonan bagi kemasukan ke UNIMEL boleh dibuat melalui laman rasmi universiti berkenaan di https://www.unimel.edu.my.

Katanya, permohonan kemasukan pelajar baharu program diploma bagi Sesi Akademik 1 Tahun 2025/2026 adalah pada 10 Jun – 10 Julai 2025, manakala bagi program Asasi pada 29 Jun hingga 29 Julai 2025.

“Tahniah kepada semua calon STAM! Semoga kejayaan hari ini menjadi langkah awal menuju masa depan yang cemerlang, berkat dan diberkati Allah SWT,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1247
Kongsi :
Previous post PERPUSTAKAAN DESA BERTAM HULU BERWAJAH BAHARU
Next post MELAKA REALISASIKAN IMPIAN RAKYAT MILIKI RUMAH SENDIRI – LPM