Perpustam mahu lahirkan generasi membaca

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT BARU 26 Ogos – Pelbagai inisiati dirangka Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) dalam usaha menarik minat orang ramai ke gedung ilmu itu, sekali gus memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Perpustam Rosli Abdullah berkata, bagi menjayakan usaha itu empat perpustakaan bergerak aktif mengadakan program di lokasi tumpuan seperti taman perumahan, kawasan kampung dan sekolah.

Katanya, sasaran Perpustam bukan lagi sekadar kanak-kanak atau remaja sebaliknya lebih meluas dan mahu lebih ramai golongan dewasa untuk bersama-sama memanfaatkan kemudahan disediakan.

“Memang benar antara tumpuan kami adalah murid tadika dan sekolah rendah, diharapkan program dijalankan dapat menarik minat ibu bapa anak-anak ini untuk sama-sama minat serta menjadikan membaca sebagai satu budaya.

“Perpustakaan di Negeri Melaka selesa, kemudahannya mencukupi tetapi apa yang dirisaukan jika tidak ada aktiviti dianjurkan semuanya akan menjadi ‘gajah putih’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Exco Pendidikan negeri Datuk Rais Yasin, merasmikan Karnival Gerakan Membaca dan Program Semarak Bulan Kebangsaan 2022 yang turut dihadiri Pengarah Perpustam Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, di sini, hari ini.

Rosli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi berkata, pihaknya berharap ada peruntukan khas daripada kerajaan kepada Perpustam supaya setiap kampung atau desa memiliki kemudahan itu.

“Selain itu kami kini dalam proses permohonan mendapatkan sebuah van daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk dijadikan perpustakaan bergerak,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1461
Kongsi :
Previous post Penganggur bunuh nenek umur 85 tahun dihukum mati
Next post Isu KLFA: SPRM akan panggil saksi bantu siasatan
Ubah saiz-+=