
PERSIDANGAN HIMPUN PAKAR DALAM DAN LUAR NEGARA PERKUKUH BUKTI PENEMUAN KAPAL PURBA
BANDA HILIR 8 November – Satu persidangan yang akan menghimpunkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara akan diadakan bagi memperkukuh bukti dan kajian saintifik susulan penemuan rangka kapal purba dan artifak di kawasan berhampiran Pulau Melaka.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mohd Muda Bahadin berkata, selain pakar sejarah, persidangan itu juga akan melibatkan pakar pertukangan kapal Melayu yang lebih arif mengenai bahagian-bahagian kapal yang ditemui.
Jelas beliau, persidangan itu bakal menjadi platform pembentangan ilmiah dalam membincangkan input-input bagi merungkai kajian penemuan baharu itu.
“Ini juga adalah saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang meminta agar dilibatkan pakar-pakar dalam dan luar negara, baik dari sudut saintifik mahupun akademik.
“Kita juga tidak melupakan tukang-tukang kapal Melayu untuk dilibatkan kerana mereka boleh mengenal pasti dengan lebih tepat bahagian-bahagian kapal seperti dinding, kerangka, bahagian sauh dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri mengadakan lawatan ke tapak ekskavasi penyelamatan kapal purba Melaka berhampiran Pulau Melaka, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah serta lain-lain kenamaan.
Tambah beliau, input-input serta dapatan daripada pakar yang dihimpunkan itu diharap dapat memperkukuhkan lagi pembuktian dalam merungkai satu lagi sejarah baharu kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


