Sorting by

×

PESARA TERHARU DISANTUNI ‘ORANG BESAR’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PENGKALAN BATU 7 November – Selepas 16 tahun bersara dari perkhidmatan awam, seorang pesara tidak menyangka akan menerima kunjungan dan disantuni Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut Azhar Hashim, 63, dia amat berbesar hati apabila dimaklumkan akan menerima kunjungan KPPA bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad ke kediamannya di Kampung Pulau Kelapa, di sini.

Katanya, selepas 30 tahun berkhidmat sebagai pembantu am rendah di Jabatan Kewangan Negeri Melaka dia terpaksa membuat keputusan untuk bersara pada 2009 akibat masalah kesihatan.

“Boleh katakan saya langsung tidak sangka akan dikunjungi orang paling besar dalam perkhidmatan. Ini merupakan satu penghargaan untuk saya malah jauh disudut hati amat terharu dengan kunjungan ini.

“Menerusi kunjungan ini juga ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan ambil cakna golongan pesara,” katanya kepada pemberita.

Bapa kepada dua anak itu berkata, selepas diuji dengan kehilangan kaki sebelah kanan akibat kencing manis pada 2023 dia kini turut menghidap masalah jantung.

“Jika dulu saya seorang yang tidak boleh duduk diam, kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda namun begitu saya bersyukur kerana keluarga sentiasa ada memberi semangat.

“Dalam kunjungan ini selain menerima sumbangan saya amat terharu apabila turut disampaikan kerusi roda elektrik yang pastinya akan membantu memudahkan pergerakan saya.

“Dengan harga yang mencecah ribuan ringgit pastinya tidak berkemampuan untuk membelinya sendiri. Terima kasih tidak terhingga buat semua atas sumbangan ini,” katanya.

Terdahulu, Azhar menerima sumbangan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post ‘HEBAT’ TEMUI RAKYAT SETIAP 3 BULAN
Next post NOURUL AUNA, PERMATA MELAKA DI BUMI ANBIYA