Pesta Gendang Nusantara: Seni pergendangan terhenti yang dikembalikan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Pesta Gendang Nusantara yang mengetengahkan seni pergendangan dan silang budaya antara negara dikembalikan semula selepas terhenti pada tahun 2012.

Datuk bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata selepas 12 tahun terhenti,  MBMB mengembalikan semula acara gemilang terbabit dan mendapat reaksi positif daripada pemain industri seni instrumen terbabit.

“MBMB selaku penganjur bertanggungjawab mengembalikan semula acara yang mula dianjurkan sejak 1995  bagi meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi pergendangan di Malaysia.

“Pesta Gendang Nusantara pada tahun 2024 ini, kita (MBMB) anjurkan secara besar-besaran dengan penglibatan 31 kumpulan dan penyertaan seramai 560 peserta dalam negeri dan luar negara termasuk Poland, Sri Lanka, Thailand, Indonesia dan Korea.

“Acara ini juga merupakan pembuka tirai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang mana objektifnya untuk memelihara seni, budaya dan warisan kepada generasi muda agar tidak dilupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persembahan Perdana Pesta Gendang Nusantara yang diadakan di Dataran Bandaraya MBMB, di sini malam tadi.

Majlis Perasmian Pesta Gendang Nusantara itu dirasmikan oleh  Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, isteri Yang di-Pertua negeri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman; Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Utama Zuriyah Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Speaker Dewan Undang Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum.

Turut sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta kenamaan lain.

Img 5261
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berucap pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pesta Gendang Nusantara 2024 Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 di Dataran Bandaraya MBMB, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada acara terbabit, MBMB turut menerima dua anugerah pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) bagi kategori  ‘Gendang Nusantara’ Performance dan Most Performers In A ‘Gendang Nusantara’ Performance.

Dua anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Shadan disaksikan oleh Tun Seri Setia Mohd Ali dan Ab Rauf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1295
Kongsi :
Previous post 31 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi di ibu kota
Next post Jadi sukarelawan, ‘menyelam sambil minum air’
Ubah saiz-+=