Petunjuk baharu MH370: MOT akan bekerjasama dengan Australia

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedia bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai kajian mereka berhubung dokumen yang dikeluarkan jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey yang mendakwa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi pesawat MH370 yang hilang.

Menurut MOT dalam kenyataan hari ini, kementerian mengambil maklum ATSB sedang meneliti data baharu yang dikeluarkan Godfrey namun tidak boleh mengulas secara terperinci tentang kesahihan penilaian itu tanpa semakan dan pengesahan pihak ketiga.

“Sebarang perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kerajaan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai, yang mungkin membawa kepada pencarian baharu bagi pesawat yang hilang MH370.

“MOT bersimpati kepada ahli keluarga mangsa serta berpandangan bahawa sebarang bukti baharu yang boleh dipercayai yang mungkin membawa kepada penemuan lokasi pesawat MH370 perlu dipertimbangkan dan diteliti sewajarnya,” katanya dalam kenyataan itu.

ATSB sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta pihak ketiga untuk menyemak data yang diperoleh daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada item yang menarik dikesan dalam carian sebelumnya berdasarkan dokumen Godfrey, ‘MH370 Flight Path’.

Menurut ATSB lagi, penemuan semakan itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi dan menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk menjalankan pencarian lanjut pesawat MH370 akan menjadi urusan kerajaan Malaysia dan ATSB tidak mengetahui sebarang permintaan untuk menyokong pencarian baru untuk pesawat yang hilang itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

598
Kongsi :
Previous post Dua lelaki berpakaian wanita di Laman Mahkota Istana Bukit Serene ditahan
Next post KKM diberi dua hingga tiga minggu bentang SOP, cadangan buka sempadan kepada kabinet
Ubah saiz-+=