PH tidak bincang perutusan ke Istana Negara – Chee Leong

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 8 Okt – Bekas ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong mendakwa keputusan mengutus warkah ke Istana Negara bagi memohon campur tangan dalam isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak pernah dibincangkan antara 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

Justeru, beliau mendakwa DAP Melaka tidak bersetuju tindakan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mewakili PH bagi memohon campur tangan pihak istana dan perkara itu sama sekali tidak boleh diterima.

Dia mendakwa dalam pertemuan bersama 11 ADUN PH sebelum ini tidak pernah membincangkan mahupun membangkitkan mengenai perutusan surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Norhizam telah memperalatkan PH untuk kepentingan diri sendiri dan beliau tidak boleh mewakili saya sebagai salah seorang ADUN PH tanpa pengetahuan dan keizinan saya.

“Saya menegaskan sekali lagi saya tidak pernah memberi mandat kepada Norhizam untuk menggunakan nama saya, malah saya tidak bersetuju proses menghantar warkah itu diwakili oleh beliau.

“Tindakan itu hanya merendahkan nama baik PH, seolah-olah ada pemimpin cuba sedaya upaya untuk ‘pemutihan’ kepada Norhizam,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI), hari ini.

Semalam media melaporkan Norhizam dan Datuk Nor Effandi Ahmad yang menyokong blok pembangkang hadir ke Istana Negara bagi menyerahkan warkah kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post PH belum terima sebarang panggilan Istana Melaka
Next post Vaksin Pfizer diberi kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=