Sorting by

×

Piala Asia B-23: Bangkitlah rakan-rakan – Mukhairi

Masa Membaca:59 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan diingatkan agar segera bangkit dan melupakan kekecewaan tumpas 1-4 kepada juara bertahan, Korea Selatan pada aksi pembukaan Kumpulan C Kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan, Khamis lepas.

Ketua pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata pemain perlu kembali fokus bagi menghidupkan peluang mara ke peringkat suku akhir dalam misi ‘hidup mati’ menentang Thailand esok.

“Jangan ambil mudah menentang Thailand, ini peluang terbaik kita, harap dapat kemenangan untuk naikkan semula moral pasukan,” katanya dalam satu rakaman suara dikongsi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media.

Sementara itu, ketua jurulatih Brad Maloney menjangkakan perlawanan penting menentang Thailand sebagai perlawanan yang sukar walaupun pernah mengalahkan pasukan itu pada saingan pembukaan Kumpulan B di Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, bulan lepas.

Begitupun, pengendali dari Australia itu berharap para pemainnya mampu menyahut cabaran dalam usaha memastikan peluang mara ke peringkat seterusnya.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Skuad B-23 kebangsaan mencipta sejarah apabila layak ke suku akhir pada edisi 2018 di China sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post Jururawat rugi lebih RM20,000 terpedaya pelaburan saham
Next post MAFI akan pastikan sumber bekalan makanan import, keluaran negara seimbang
Ubah saiz-+=