Piala Malaysia: Melaka United muncul juara kumpulan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) muncul juara kumpulan C saingan Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Dua gol Melaka United dijaringkan oleh Manuel Ott dan Giovanne Gomez di setiap babak.

Aksi terakhir peringkat kumpulan itu dianggap cukup penting bagi mengesahkan pasukan mana akan dinobat juara kumpulan, sekali gus mengelakkan diri daripada berdepan juara Kumpulan D, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.

Sebaik wisel permulaan, kedua-dua pasukan saling menggasak untuk mencari gol awal.

Namun tuah nyata berpihak kepada skuad Hang Tuah apabila berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi Ott.

Gol itu terhasil berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Kedah yang gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti, sebelum pemain kebangsaan Filipina itu mencuri peluang dengan merembat deras bola menerjah jaring.

Aksi separuh masa pertama berakhir dengan kelebihan satu gol memihak tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, Kedah yang sedang ketinggalan cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan.

Namun kekentalan benteng pertahanan tuan rumah berjaya mematahkan beberapa asakan yang dijelmakan pelawat.

Sebaliknya, tatkala masa sebenar berbaki seminit, Melaka United berjaya menambah gol kedua menerusi Gomez yang menanduk masuk bola hantaran Adriano Narcizo pada minit ke-89.

Dua gol itu cukup untuk membawa Melaka United ke suku akhir sebagai juara kumpulan dengan mengutip 16 mata dari enam perlawanan.

Di suku akhir nanti, Melaka United bakal berdepan Sabah FC yang merupakan naib juara Kumpulan D.

Saingan suku akhir pertama akan diadakan pada 14 Nov, manakala suku akhir kedua pada 18 Nov ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post Rais Yasin mahu selesaikan masalah banjir di Paya Rumput
Next post PRN Melaka: SOP sukar diikuti, tapi perlu patuh – Akar umbi politik
Ubah saiz-+=