Sorting by

×

PIALA TUN ALI 2025: TEKONG THAILAND PERKUAT MELAKA TITANS

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TELOK MAS 29 Oktober – Ketiadaan tekong utama negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mewakili Melaka Titans pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2025, November depan tidak menjejaskan prestasi pasukan.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, skuad Melaka Titans masih mengekalkan barisan pemain berpengalaman antaranya Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).

Menurutnya, kehadiran tekong dari Thailand, Pongsatorn Phong Udtha diyakini dapat membantu Melaka Titans dalam memberikan aksi terbaik pada edisi kali ini.

“Syahir bukan tidak mahu beraksi bersama kita, tetapi disebabkan majikannya iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyertai kejohanan jadi keutamaan perlu diberikan.

“Meskipun begitu, kehadiran Tekong Thailand akan membantu Melaka untuk memberikan saingan sengit sepanjang kejohanan menerusi acara regu lelaki,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Cabutan Undi Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali, di Baruh Alai, di sini, semalam.

Menurut Akramuddin, berdasarkan prestasi kejohanan edisi lalu, Melaka Titans menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir bagi regu lelaki dan wanita.

“Kedua-dua pasukan berjanji untuk memberikan aksi terbaik malah persiapan untuk menghadapi kejohanan juga sudah dibuat, jadi kita yakin mereka akan pamerkan aksi terbaik,” katanya.

Untuk rekod Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali akan berlangsung pada 3 hingga 9 Nobember di Dewan Bola Keranjang MBMB Bukit Serindit.

Bagi aksi regu lelaki, Melaka Titans diundi di dalam kumpulan F bersama KPM-MSSM dan Penjara, manakala aksi kuadran lelaki pula menyaksikan Melaka Titans di dalam kelompok kumpulan D bersama-sama KPT-MASUM dan Bomba.

Aksi regu wanita pula, Melaka berada di dalam kumpulan C bersama-sama Selangor dan PDRM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

683
Kongsi :
Previous post MPJ TERIMA PENARAFAN BANDAR PINTAR 2025
Next post KEKUATAN BAHASA MELAYU TERLETAK PADA JIWA, SEMANGAT PENUTUR