PINDAAN AKTA 317 LINDUNGI SUMBER PERIKANAN NEGARA
Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata pindaan terperinci melibatkan seluruh sektor perikanan itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat dari 7 Okt hingga 5 Dis ini.
“Cadangan pindaan ini mengambil kira elemen perikanan haram, tidak terkawal dan tidak dilaporkan (IUU), kawasan perlindungan marin, akuakultur, biosekuriti, pengembangan dan Penilaian Impak Perikanan (FIA),” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.
Pada 24 April lepas, memorandum Jemaah Menteri bagi cadangan pindaan akta berkenaan telah diluluskan secara prinsip pada mesyuarat Kabinet.
Dari segi penguatkuasaan dalam mengekang aktiviti perikanan tidak sah, Adnan berkata pembanterasan kegiatan IUU perlu mendapat kerjasama dan persetujuan semua pihak berkepentingan bagi memerangi aktiviti itu secara berkesan.
Beliau berkata DOF menerajui penubuhan Jawatankuasa Induk IUU Kebangsaan dan Jawatankuasa Kerja IUU yang melibatkan kerjasama agensi penguatkuasaan antaranya Jabatan Perikanan Sabah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.
“Malaysia tidak terlepas daripada ancaman perikanan IUU yang dilakukan oleh kapal nelayan tempatan dan asing.
“Perikanan IUU adalah isu yang kompleks dan berbilang dimensi, ia perlu ditangani secara strategik melalui pendekatan pelbagai serampang dan ini membawa kita kembali kepada asas, memperkukuh aktiviti pemantauan,” katanya.
Adnan berkata sehingga tahun ini sebanyak 510 tangkapan kerana melanggar Akta Perikanan 1985 dilakukan membabitkan nilai keseluruhan RM355,584 termasuk kompaun RM280,321.
Beliau berkata DOF memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor akuakultur terutama melibatkan akuakultur marin bagi memenuhi matlamat ekonomi biru.
Menurutnya jabatan itu giat menjalankan program pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan untuk memastikan kelestarian stok ikan di perairan negara, termasuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang melarang penangkapan ikan secara IUU.
Selain itu, katanya DOF turut mempromosikan amalan akuakultur mampan menerusi penyelidikan dan perkembangan teknologi, termasuk memperkenalkan teknik akuakultur yang lebih mesra alam dan mengurangkan impak terhadap ekosistem, serta meningkatkan kualiti dan keselamatan produk.
“Dalam pengurusan Kawasan Perlindungan Marin (MPAs), DOF bekerjasama dengan pelbagai agensi dan komuniti untuk mengurus dan memelihara kawasan perlindungan marin. Usaha ini bertujuan untuk melindungi biodiversiti marin, habitat kritikal dan kawasan pembiakan ikan yang penting,” jelasnya.
Adnan berkata sebagai komitmen kepada ekonomi biru, DOF juga terlibat dalam kempen kesedaran mengenai bahaya sisa plastik kepada ekosistem marin melibatkan nelayan dan masyarakat setempat. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.