PKNM komited perkasa ekonomi negeri

Masa Membaca:6 Minit, 58 Saat

AYER KEROH 6 Okt. – Meskipun berhadapan dengan pandemik COVID-19, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) optimis untuk meneruskan pelbagai projek pembangunan bagi membantu memperkasa pertumbuhan ekonomi negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmi Hussain berkata menerusi peruntukan Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kita juga mendapat sedikit peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membangunkan 16 projek, yang mana projek berkenaan untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, bagi meneruskan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Kerajaan Persekutuan memberi PKNM peruntukan lebih RM20 juta bagi menaik taraf Kompleks Air Panas Gadek, Alor Gajah bernilai RM17.9 juta untuk dijadikan resort spa manakala selebihnya membaik pulih mendapan tanah di Terminal Melaka Sentral.

“Bagi peringkat kerajaan negeri, sektor perindustrian menjadi fokus kita di mana kita akan bangunkan 2,000 ekar (809 hektar) di daerah Jasin bagi mengadakan perbincangan dengan syarikat perladangan sedia ada bagi mendapatkan pembangunan industri.

“Yang kedua, pembangunan dalam projek komersil, ini juga dalam perancangan sebab hari ini oleh kerana suasana pandemik ini kedatangan pelabur adalah menjadi satu masalah, tetapi sebenarnya banyak pelabur domestik yang boleh memberi kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri, sekali gus memberi fokus kepada banyak syarikat berkaitan kerajaan tempatan untuk berurusan dengan rakan strategik pelaburan di Melaka.

BANGUNAN PKNM

“Dan yang ketiga adalah memperkasa syarikat hartanah yang sedia ada untuk bekerjasama dengan PKNM dalam menjadi rakan strategik bagi membangunkan kawasan industri.

“Akhir sekali, PKNM teruskan usaha untuk mempromosi Melaka dari masa ke semasa dengan mengadakan rundingan menerusi alam maya dengan rakan pelabur asing, dan sebab itu kita mengaktifkan semula Invest Melaka untuk dijadikan medium terbaik melaksanakan promosi pelaburan di negeri ini dalam semua sektor,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata bagi memperkasa empat bidang utama iaitu perindustrian, pelancongan, perumahan serta perniagaan dan perdagangan, PKNM memberi keutamaan kepada sektor perindustrian memandangkan 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah dari sektor terbabit.

“Kita juga menggazetkan kawasan seluas 450 ekar di Telok Gong sebagai satu hab tenaga bagi industri minyak dan gas untuk dijadikan kawasan strategik Taman Perindustrian Pintar Bersepadu.

“Semuanya akan terlaksana selepas kita mendapat isyarat jelas daripada pihak PETRONAS kerana kita memerlukan ‘anchor’ untuk melaksanakan kawasan industri tersebut.

DALAM usaha merencana pelbagai pelan perniagaan untuk membantu ekonomi negeri, penubuhan PKNM kekal untuk memberi fokus kepada golongan Bumiputera.

“Bajet pembangunan bagi tahun 2021 hingga 2025 dianggarkan mencecah RM1 bilion bagi memperkasa agensi ini sebagai peneraju untuk pembangunan ekonomi negeri Melaka,” katanya.

Menurut Azmi, bagi sektor pelancongan pihaknya juga melihat untuk menaik taraf lokasi pelancongan yang dimiliki agensi itu termasuk Taman Mini Malaysia dan Taman ASEAN bagi menarik semula kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Kita juga mengintai kawasan tertentu di negeri ini untuk dijadikan kawasan baru untuk pelancongan contohnya di Umbai, kita kenal pasti kawasan berhampiran dengan laut,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, dalam usaha merencana pelbagai pelan perniagaan untuk membantu ekonomi negeri, penubuhan PKNM kekal untuk memberi fokus kepada golongan Bumiputera.

Katanya, pihaknya telah membangunkan 13 kawasan industri manakala 22 kawasan industri kerjasama dengan pihak swasta.

“Setakat ini kita membuka ruang untk bumiputera, sebab itu IKS telah mewujudkan lebih 120,000 peluang pekerjaan, begitu juga kita menarik pelabur asing masuk.

“Setakat ini, 109,000 pelabur tempatan yang mempunyai pekerjaan di sektor industri, kita bangunakan lokasi perniagaan untuk Bumiputera seperti di Melaka Sentral, kawasan Rehat dan Rawat (RNR), itu adalah dibangunkan oleh PKNM, sumbangan kita kepada ekonomi Melaka dengan memberi ruang pekerjaan kepada golongan itu.

Bagi memastikan pelabur terus konsisten memilih negeri ini sebagai destinasi utama pelaburan mereka, Azmi berkata, pihaknya sedia membantu apa jua kesulitan dialami pelabur sedia ada dan prospek baharu untuk melaksanakan sebarang urusan perniagaan di negeri ini.

“Kita sebagai perantara untuk mereka berurusan dengan pihak kerajaan Persekutuan, contohnya jika permohonan mereka dari segi tarif, cukai atau peluang perniagaan dan sebagainya, kita sebagai urusetia yang akan menguruskan bagi pihak mereka.

“Di samping kita mempunyai jalinan kerjasama dengan aktivis kilang seperti FMM (Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia) dan sebagainya,” katanya.

Struktur semula anak syarikat

BAGI memastikan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) lebih dinamik serta relevan dalam dunia perniagaan pada ketika ini, badan tersebut kini dalam usaha melaksanakan penstrukturan semula anak syarikat menjelang Januari 2022.

Datuk Azmi Hussain berkata, sebagai permulaan pihaknya akan melihat kekuatan pada setiap agensi terbabit dan mengenal pasti peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan bagi setiap anak syarikat tersebut.

Katanya, PKNM yang bertindak sebagai agensi peneraju pembangunan ekonomi negeri, anak syarikat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada badan induk itu sebaliknya meneroka peluang yang ada untuk memacu pertumbuhan ekonomi syarikat.

“Mereka perlu ada aset dan tidak boleh bergerak sebagai syarikat biasa. Sebagai contoh, anak syarikat PKNM, Mcorp Sdn Bhd, yang menguruskan Hotel MITC, saya cabar mereka supaya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, MCorp boleh membeli hotel itu daripada PKNM, bukan sekadar mengurus sebaliknya miliki aset sendiri.

SENARAI anak syarikat milik PKNM.

“Dengan cara itu, maknanya kita meningkatkan pemerkasaan anak-anak syarikat, begitu juga dengan MITC, yang sekarang ini kita sediakan lokasi untuk penganjuran seminar, konvesyen, jadi apa kata MITC Sdn Bhd miliki aset sendiri untuk masa akan datang, itu yang kita sedang rencanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi memastikan proses itu berjalan mengikut perancangan, semua kakitangan termasuk anak syarikat perlu menghasilkan modal insan yang lebih mantap.

“Cabaran saya dalam melihat usaha kita ke arah tranformasi itu adalah saya harus pastikan bahawa saya memilik staf yang mempunyai modal insan yang mantap.

“PKNM juga memerlukan sokongan yang kuat daripada rakan strategik perniagaan untuk sama-sama membantu ke arah itu, kita perlu ada matlamat itu kalau tidak agak susah untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Azmi berkata, bagi memastikan PKNM kekal berdiri teguh sebagai syarikat yang unggul untuk membantu ekonomi kerajaan negeri, beliau sendiri yang dipertanggungjawabkan meneraju agensi itu perlu mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta ancaman tertentu untuk menghadapi cabarang mendatang.

Menurutnya, beliau perlu memastikan hala tuju serta matlamat PKNM itu mengikut arca yang ditentukan supaya tidak bertindih dengan agensi pelaksana yang lain memandangkan Melaka adalah negeri kecil.

“Sebagai contoh, dalam industri hartanah, banyak agensi termasuk swasta ke arah itu jadi kita tidak mahu sentuh mengenai itu.

“Jika dahulu, kita sebagai penyedia (provider), tetapi sekarang ini kenapa tidak kita melibatkan diri sebagai pelabur, kita jadi rakan kongsi supaya kita boleh kekal pada masa hadapan dari segi perniagaan.

“Apabila bercakap mengenai aset, saya berusaha untuk menambah nilai (aset) bagi mencecah sehingga RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang jika diizinkan.

“Dan mungkin siapa tahu kita boleh disenaraikan dalam Bursa Saham, kenapa tidak kita ambil peluang untuk rebut ekuiti dalam syarikat untuk masa hadapan,” katanya.

Cadang jajaran M-WEZ diperluas

PERBADANAN Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mempertimbangkan semula untuk menambah keluasan kawasan penubuhan zon ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Datuk Azmi Hussain berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh dengan perancangan pembangunan zon ekonomi baharu seluas 6,070 hektar (15,000 ekar) di sepanjang 22 kilometer persisiran pantai malah melihat perancangan itu sebagai nukleus kepada pembangunan koridor baharu di Malaysia.

Bagaimanapun katanya, jajaran kawasan M-WEZ itu sekiranya dapat dilakukan penambahbaikan dengan memperluaskan kawasan jajaran supaya pelbagai kluster pembangunan dapat diperolehi menerusi penubuhan zon ekonomi itu.

“Oleh kerana tumpuan itu kepada kawasan deklarasi, jika dapat kerajaan negeri mempertimbang semula jika boleh menjadikan koridor itu satu jajaran yang lebih luas yang boleh menarik dari utara hingga selatan Melaka.

“JAJARAN kawasan M-WEZ itu sekiranya dapat dilakukan penambahbaikan dengan memperluaskan kawasan jajaran supaya pelbagai kluster pembangunan dapat diperolehi menerusi penubuhan zon ekonomi itu” – Datuk Azmi

“Dan dari situ kita akan lihat kluster pembangunan, di mana kita ada industri tenaga di bahagian utara, di bahagian tengah strategik untuk projek kerjasama bersama PETRONAS, di bahagian selatan pula kita ada M-WEZ manakala kita juga sudah bersedia untuk minyak dan gas” katanya.

Mengulas lanjut, di samping itu kerajaan negeri perlu menyediakan infrastruktur yang terbaik bagi memudahkan akses hubungan orang ramai ke lokasi pembangunan itu.

“Kita sangat perlukan infrastruktur itu supaya kita ada jaringan jalan raya yang boleh menghubungkan utara hingga ke Jalan Sultan Abdul Aziz (Selangor) atau jalan persisiran pantai yang baik supaya memudahkan akses orang ramai untuk ke Sepang dan sebagainya.

“Saya yakin dengan ilham Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali untuk mewujudkan M-WEZ akan terlaksana sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan ini,” katanya.

Views:

1140
Kongsi :
Previous post Pulangkan rantai, sebelum terbabit kemalangan
Next post COVID-19: Noor Hisham kuarantin kendiri, adakan sidang media maya dari rumah
Ubah saiz-+=