PM tidak lupakan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelbagai projek yang sedang dirangka demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Negeri Melaka

Katanya, antara yang diberi perhatian khusus ialah sektor pelancongan yang cukup sinonim dengan negeri bersejarah, Melaka.

Beliau berkata, terdapat dua projek pelancongan yang bakal diperkasakan di negeri ini iaitu Ecotourism Paya Lebar dengan peruntukan RM2.3 juta dan projek menaik taraf Kolam Ayer Panas Gadek sebanyak RM17.9 juta.

“Kerajaan turut meluluskan beberapa projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubahsuai dan Naik Taraf (PPUN) dengan nilai peruntukan sejumlah RM5.9 juta terhadap fasiliti pelancongan yang tidak digunakan sepanjang tempoh pandemik yang lalu.

“Beberapa bantuan dan inisiatif turut diberi kepada penggiat pelancongan, misalnya pada tahun ini, sebanyak RM1.9 juta telah disalurkan kepada penggiat pelancongan di Melaka termasuk pengusaha inap desa (homestay) dan hotel, pemandu pelancong dan agensi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga tidak melupakan kepentingan rakyat dengan menambah baik infrastruktur di negeri ini.

Menurutnya, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM22.3 juta untuk menyelenggara jalan Persekutuan di Melaka, selain memperuntukkan kos keseluruhan sebanyak RM788 juta bagi 56 projek pembangunan sekolah serta institusi pendidikan.

“Dalam bidang kesihatan pula, Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Pergigian Pediatrik di Hospital Melaka sedang dinaik taraf. Klinik Kesihatan dengan kuarters Simpang Bekoh, Jasin pula sedang dibina dengan peruntukan RM63 juta dan dijangka siap pada tahun 2023 dan 2024.

“Bagi pembangunan luar bandar, sejumlah RM442 juta diperuntukkan bagi 38 buah projek pembangunan di kawasan luar bandar untuk kelestarian, kesejahteraan dan keselesaan Keluarga Malaysia.

“Bagi golongan berpendapatan rendah di Melaka, Kerajaan juga telah melaksanakan program perumahan rumah mampu milik (RMM) sebanyak 12,876 unit sama ada siap dibina atau dalam perancangan setakat bulan Ogos 2022,” katanya.

Tambahnya, mengetahui situasi banjir yang kerap berlaku di Melaka saban tahun, Kerajaan turut meluluskan RM929.8 juta bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Selain itu, katanya, sejumlah RM585 juta pula diperuntukkan bagi projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) untuk menangani masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1347
Kongsi :
Previous post JAKM dekatkan kerajaan dengan rakyat
Next post Mandat rakyat penawar ampuh kestabilan negara – PM
Ubah saiz-+=